Kenapa tunggu, berundur sekarang, Bersih beritahu ahli SPR

PETALING JAYA: Kumpulan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 menggesa 5 ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bersetuju meletak jawatan pada 1 Januari depan, supaya berundur segera.

Katanya, 5 ahli itu perlu berundur sekarang, bukannya tunggu sehingga akhir tahun bagi mempercepatkan pembaharuan dalam SPR.

“Dengan pengunduran awal, mereka boleh mengelakkan dipanggil tribunal atas peranan dan tanggungjawab dalam salah laku serta salah guna kuasa ketika mengendalikan pilihan raya umum ke-14,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 hari ini.

Sejajar tuntutan undang-undang “tidak bersalah sehingga terbukti bersalah”, Bersih bagaimanapun menghormati keputusan Ahli SPR, Datuk K Bala Singham tidak meletak jawatan.

“Bersih menggesa tribunal ditubuhkan, walaupun hanya Bala Singham akan dihadapkan ke tribunal itu.”

Bala Singham yang dilantik pada 2016 terbabit dalam kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya penuh kontroversi menjelang PRU14 yang menyaksikan SPR disaman kerajaan Selangor dan pengundi.

Dua hari lalu, Malaysiakini melaporkan pesuruhjaya SPR akan dipanggil ke tribunal yang bakal ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Bersih berkata, rakyat boleh melihat dan menilai sendiri siapa yang bertanggungjawab terhadap salah urus meluas pada PRU14.

Semalam, Pengerusi SPR, Azhar Harun mengumumkan 5 ahli SPR, termasuk Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood akan melepaskan jawatan mereka berkuat kuasa 1 Januari nanti.

Empat yang lain adalah Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi dan Datuk Leo Chong Cheong.

Azhar berkata, Yang di-Pertuan Agong sudah dimaklumkan mengenai keputusan itu yang dibuat 3 hari lalu.

Katanya, penggal 5 ahli SPR itu dipendekkan sejajar Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.