Kontrak pasport ketika jadi menteri antara tuduhan dihadapi Zahid

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Bekas menteri dalam negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa menerima suapan RM6 juta berkaitan satu kontrak kerajaan untuk membekalkan cip pasport selama 5 tahun, dalam sebahagian daripada 45 pertuduhan berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya hari ini.

Kontrak yang dikatakan dibuat melalui rundingan terus itu, dilaporkan bernilai RM318.75 juta dan diberikan kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd pada 2016.

Syarikat sama turut mendapat kontrak kerajaan untuk membekalkan pasport Malaysia sehingga 2021.

Mengikut pertuduhan itu, Zahid didakwa menerima RM6 juta daripada Pengarah Datasonic, Chew Ben Ben pada 26 April 2017.

Wang itu dikatakan dipindahkan ke akaun milik firma guaman Lewis & Co.

Zahid turut berdepan 2 pertuduhan di bawah Section 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima RM6 juta menerusi 2 transaksi, sebagai suapan untuk meluluskan projek bagi Datasonic.

Beliau berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM30 juta, jika sabit kesalahan.

Akhir tahun lalu, Zahid mengumumkan pasport Malaysia versi baru yang dilengkapi ciri keselamatan seperti penggunaan biometrik dan pengenalan wajah.

Zahid turut didakwa menerima RM13.3 juta daripada syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services untuk projek MyEG di bawah kementerian lamanya.

Wang itu didakwa dibayar menggunakan 24 keping cek antara Julai 2016 dan Februari 2017 ke akaun Lewis & Co untuk beliau membantu Mastoro Kenny mendapatkan projek MyEG.

MyEG ialah penyedia pelbagai perkhidmatan kerajaan atas talian, termasuk berkaitan polis trafik, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen.

Zahid juga didakwa menerima RM2 juta tahun lalu daripada Azlan Shah Jaffril, pengarah Profound Radiance Sdn Bhd untuk dilantik mengendalikan pusat sehenti bagi memproses permit kerja bagi pekerja asing dari Pakistan dan Nepal.