Laungan ‘hidup Umno’, ‘undur Mahathir’ sambut Zahid di mahkamah

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Jalan Duta kira-kira jam 8.20 pagi hari ini menaiki Toyota Alphard disambut laungan ‘hidup Umno’ dan ‘undur Mahathir’ oleh lebih 200 penyokong yang menunggu di luar bangunan mahkamah.

Beliau yang berbaju batik merah diiringi ketat pegawai polis dan SPRM kelihatan tenang.

Antara pemimpin Umno yang hadir sama di pekarangan mahkamah ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa; Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Ismail Sabri; Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Wanita, Datuk Norani Ahmad.

Menurut sumber, Zahid dijangka berdepan sekurang-kurangnya 35 pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan, undang-undang bersabit pengubahan wang haram serta rasuah melibatkan wang berjumlah RM7 juta .

Beliau dipercayai berhadapan beberapa pertuduhan berkait Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang didakwa dilakukan antara 2014 hingga 2017.

Sumber berkata, jika kesalahan itu dilakukan sebelum September 2014, Zahid mungkin berdepan denda sehingga RM5 juta, penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika kesalahan itu dilakukan selepas September 2014, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah hasil aktiviti menyalahi undang-undang atau mana yang lebih tinggi.

Bekas timbalan perdana menteri itu turut berdepan pertuduhan rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga dijangka berdepan pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Zahid ditahan petang semalam selepas dipanggil SPRM buat kali keenam.