MyCC lantik Iskandar Ismail sebagai CEO baru

Iskandar Ismail. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melantik Iskandar Ismail sebagai ketua pegawai eksekutifnya (CEO) yang baru berkuat kuasa 15 Okt.

Dalam kenyataan hari ini, MyCC berkata Iskandar dilantik oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Iskandar sebelum ini memegang jawatan pengarah Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan MyCC dan telah memangku tugas ketua pegawai eksekutif selama 6 bulan sejak persaraan bekas CEO, Datuk Abu Samah Shabudin, pada 16 April.

Sebagai pengarah Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan, Iskandar telah memimpin dan menyelia penyiasatan kes-kes utama MyCC seperti Malaysian Airline System Bhd dan AirAsia Bhd, pengendali Depoh Kontena di Pulau Pinang, MyEG Services Bhd, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Dagang Net Technologies Sdn Bhd.