Najib ke mahkamah beri sokongan pada Zahid

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak muncul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta untuk memberi sokongan moral kepada bekas timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Beliau yang berbaju batik ungu biru tiba dengan kenderaan Toyota Vellfire berwarna putih kira-kira 9.15 pagi tadi.

“Saya hadir untuk beri sokongan kepada sahabat,” kata ahli Parlimen Pekan itu sebelum meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 9.50 pagi.

Terdahulu, Zahid yang tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 8.20 pagi dengan menaiki Toyota Alphard, disambut lebih 500 penyokong yang menunggu di luar bangunan mahkamah dengan laungan “hidup Umno” dan “undur Mahathir”.

Presiden Umno itu yang berbaju batik merah, kelihatan tenang ketika diiringi anggota polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Antara pemimpin Umno yang hadir di perkarangan mahkamah adalah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita, Datuk Norani Ahmad serta Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut hadir di mahkamah kira-kira 11 pagi tadi untuk memberi sokongan moral kepada Zahid.

Menurut sumber, Zahid dijangka berdepan sekurang-kurangnya 35 pertuduhan berjumlah RM7 juta di bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang pengubahan wang haram serta rasuah.