Tentera mahu membunuh saya, kata PM Ethiopia

Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed. (Gambar Reuters)

ADDIS ABABA: Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed mendakwa tindakan anggota tentera berarak ke pejabatnya pada minggu lalu, merupakan satu percubaan untuk membunuh beliau.

Sepanjang 6 bulan lalu, beliau membuat beberapa pembaharuan dan berkata berapa anggota tentera mahu menggagalkan usahanya itu.

“Beberapa anggota tentera yang berarak ke pejabat perdana menteri bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi sangat berbahaya, kerana berniat untuk menggagalkan pembaharuan yang sedang dilakukan,” kata Abiy dalam sesi soal jawab di Parlimen.

Pada 10 Oktober, ratusan tentera mengadakan bantahan dengan berarak ke pejabat perdana menteri dan ada diantaranya membawa senjata – dilaporkan bagi menuntut kenaikan gaji.

Ia menyebabkan berlakunya situasi cemas yang membawa kepada penutupan jalan di kawasan itu dan perkhidmatan internet terhenti selama beberapa jam.

Sejak mengambil alih jawatan pada April, Abiy membuat beberapa perubahan drastik, termasuk membebaskan ribuan tahanan politik, membatalkan pengharaman beberapa kumpulan dan berdamai dengan negara musuh lama, Eritrea.

Bulan lalu, pendakwa Ethiopia membebaskan 5 suspek yang dituduh kerana cuba melancarkan keganasan dan cubaan membunuh Abiy dalam serangan bom tangan pada satu majlis perhimpunan Jun lalu.