Warga emas maut digilis bas di Larkin Sentral

JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas maut selepas digilis sebuah bas ekspres di Terminal Bas Larkin Sentral tengah hari tadi.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan Shahurinain Jais berkata mangsa Er Shok Siew, 80, disahkan meninggal dunia pada 7.50 malam ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Dalam kejadian 1.00 tengah hari itu, mangsa terlibat dalam kemalangan di mana kedua-dua kaki digilis sebuah bas ekspres di terminal terbabit,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Shahurinain berkata pemandu bas berusia 61 tahun itu akan ditahan bagi membantu siasatan.

Terdahulu gambar dan video berdurasi 26 saat yang menunjukkan seorang wanita cuba melintas dalam kawasan terminal sebelum digilis sebuah bas ekspres tular di media sosial.

Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir meminta pihak pengurusan terminal untuk mengemukakan laporan segera berhubung kejadian itu.