Pakar: Malaysia sukar bawa pulang Jho Low dari China kerana isu Uighur

Jho Low. (Gambar Bloomberg)

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan Malaysia membawa pulang ahli perniagaan kontroversi Jho Low yang dikatakan mendapat perlindungan di negara China dijangka menjadi semakin sukar.

Pakar deradikalisasi di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata demikian susulan tindakan Malaysia membebaskan tahanan etnik Uighur yang dikehendaki Beijing.

“Isu Uighur ini bukan isu keganasan. Ia lebih kepada isu penindasan dan hak asasi yang dinafikan oleh kerajaan China dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerajaan, terutamanya dalam isu ekstradisi.

“Justeru, kita kena bersedia menerima hakikat bahawa usaha untuk menangkap Jho Lho di bumi China semakin sukar.

“Kecuali kita dapat menyakinkan Beijing bahawa hanya dengan membawa Jho Low ke muka pengadilan barulah kerajaan mampu meneruskan projek berimpak tinggi seperti HSR dan lain-lain. Peranan wakil kita yang berhubung dengan China amatlah perlu dan mestilah bijak,” katanya kepada FMT.

Mizan turut menyuarakan kebimbangkan tentang keberadaan etnik Uighur di Malaysia yang boleh menyebakan berlakunya tindakan keganasan kumpulan itu seperti yang pernah berlaku di Bangkok.

“Ketidakpuasan hati etnik Uighur ini boleh menyebabkan negara lain terdedah kepada bahaya seperti serangan yang pernah berlaku di sebuah kuil di Bangkok. Keadaan yang sama juga boleh berlaku di Malaysia.

“Maklumat yang saya dapati terdapat kemasukan signifikan warga Uighur ke Malaysia dan Eropah. Kita juga harus berhati-hati dengan kemungkinan Malaysia dijadikan negara transit pihak ketiga sekali gus menjadikan negara ini tapak serangan,” katanya.

Mizan tidak menolak kemungkinan etnik Uighur dipengaruhi pihak ketiga yang mempunyai kepentingan tertentu.

“Dasar kerajaan yang bersimpati kepada kelompok Muslim tertindas termasuk Palestine, Syria, Mindanao, Selatan Thai, termasuk Uighur dan Chechnya boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk agenda politik mereka,” katanya.

Mizan bagaimanapun menyokong langkah kerajaan menghantar entik Uighur ke negara ketiga berbanding balik ke China kerana dibimbangi mereka akan dibunuh.

“Saya menyokong usaha menghantar mereka ke negara ketiga berbanding balik ke China kerana ada direkodkan pembunuhan orang Uighur yang dihantar pulang ke China,” katanya.

Sebelum ini perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan membebaskan 11 etnik Uighur yang ditahan sebelum ini kerana mereka tidak melanggar undang-undang Malaysia.

Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerajaan tidak mahu membincangkan isu penindasan etnik Uighur oleh China di Dewan Rakyat kerana ia dianggap sensitif.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan Putrajaya sedang membincangkan perkara itu dengan Beijing.

Media melaporkan Beijing mendesak Putrajaya menyerahkan 11 orang Uighur yang ditahan di negara ini sejak Februari tetapi pendakwa raya melepaskan mereka atas sebab kemanusiaan dan mereka kemudiannya terbang ke Turki minggu lepas.

China dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia di Xinjiang, mendera tahanan Uighur dan mengawal agama dan budaya mereka secara ketat.

Beijing menafikan semua dakwaan.