Pelajari bahasa Mandarin, Anwar beritahu muktamar Abim

Anwar Ibrahim.

NILAI: Presiden PKR dipilih Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan supaya anak Melayu tidak hanya fokus kepada satu bahasa, sebaliknya mula mempelajari bahasa Mandarin.

Anwar berkata, bahasa Mandarin ketika ini merupakan bahasa yang digunakan secara meluas, bahkan sudah dianggap sebagai bahasa ekonomi.

“Saya usulkan lebih ramai anak Melayu pelajari bahasa Cina (Mandarin) kerana ia merupakan bahasa yang amat penting,” katanya pada Muktamar Sanawi kali ke-47, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Universiti Sains Islam Malaysia di sini, hari ini.

Anwar pada masa sama berkata, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak harus dipersoalkan kepentingannya memandangkan ia sudah ditetapkan kedudukannya dalam perlembagaan Persekutuan.

“Malaysia tetap harus terima semangat yang disepakati dalam Perlembagaan termasuk bahasa kebangsaan dan memperluaskan penguasaan bahasa-bahasa lain.

“Pada tahun 50-an, berlaku perdebatan di antara bahasa Melayu dan bahasa Cina yang datangnya dari suku kaum tertentu, kini pada 2018 pengungkapan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan sudah diterima semua pihak.

“Maka, asalkan diterima tanpa mempersoalkan kedudukan bahasa Malaysia, penguasaan bahasa lain harus dipupuk,” katanya.

Selepas mendapat pengampunan dari Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V, dan dipilih secara sah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, ini merupakan kali pertama Anwar hadir ke program ABIM.

Anwar sebleum ini merupakan bekas presiden pertubuhan berkenaan sebelum memutuskan menyertai parti politik, Umno yang ketika itu dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai presiden.

Anwar turut mempertahankan kritikan beliau berkaitan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menafikan tuduhan pihak tertentu yang menyifatkan kritikannya itu sebagai langkah populis.

“Ada orang kata Anwar serang DEB kerana mahu dapatkan sokongan kaum Cina. Saya sebenarnya sudah tegur berkaitan konsep DEB sejak 1979 lagi. Boleh baca semula ucapan saya di ABIM.

“Kita tegur kerana ia berasaskan kaum dan pelaksanaan itu meminggirkan golongan miskin dan terus kayakan orang besar. Jelasnya saya pertahankan DEB, tapi kritikan saya dianggap sebagai pandangan yang bersifat ekstrem ketika itu,” katanya.