Pentadbir ulung bola sepak negara Peter Velappan meninggal dunia

PETALING JAYA: Pentadbir ulung bola sepak negara Peter Velappan meninggal dunia pagi ini. Beliau berusia 83 tahun.

Velappan, yang memperuntukkan seluruh hidupnya kepada sukan bola sepak, berkhidmat sebagai setiausaha agung Persekutuan Bolasepak Asia selama 29 tahun dari 1978 hingga 2007.

Bekas wartawan sukan George Das dalam kata-kata peringatannya kepada Velappan yang dikenalinya sejak 1972 bekata, “Beliau merupakan pentadbir pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke pentas antrabangsa. Seorang yang sangat baik. Beliau tahu bagaimana untuk berhubung dengan media dan media juga sukakannya. Beliau sentiasa bersedia memberikan berita. Beliau menetapkan tanda aras bagi pentadbir bola sepak Malaysia.”

Bekas pemain bola sepak kebangsaan N Thanabalan berkata, walaupun Velappan seorang “pendiam”, tetapi beliau dekat dengan pemain dan selalu bergaul bebas dengan mereka.

Sementara itu bekas ketua pasukan negara M Chandran menyifatkan Velappan sebagai seorang lelaki “budiman”.

“Beliau membantu ramai pemain bola sepak, hatta ketika di luar padang sekalipun. Beliau seorang yang baik dan merupakan kawan saya,” katanya.

Velappan dilahirkan di Siliau, Negeri Sembilan, dan sangat meminati sukan, terutama bola sepak semasa mudanya. Beliau mewakili negeri kelahirannya dalam sukan lari berganti-ganti dan beberapa acara lain.

Beliau melanjutkan pelajaran ke England untuk menjadi guru. Ketika di sana, beliau terlibat dengan beberapa kelab bola sepak Inggeris dan Eropah untuk mempelajari kejurulatihan dan pengurusan bola sepak.

Pada 1963 beliau dilantik sebagai penolong setiausaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sewaktu perdana menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj menjadi presidennya.

Selepas memperoleh ijazah sarjana muda dari Universiti McGill di Montreal, Kanada, beliau dilantik sebagai penolong pengarah sukan di Kementerian Belia, Kebudayaan dan Sukan pada 1972.

Pada 1978, Velappan dilantik sebagai setiausaha agung AFC dan memainkan peranan penting memajukan bola sepak di rantau ini selama 3 dekad.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli dalam beberapa jawatankuasa Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA), dan membantu menganjurkan 12 Piala Dunia.

Paling menonjol, beliau dilantik sebagai pengarah penyelaras Piala Dunia Korea-Jepun pada 2002, kali pertama kejohanan itu diadakan di 2 negara dan juga pertama kali ia diadakan di benua Asia.

Selepas bersara, Velappan terus bercakap tentang bola sepak. Baginya bola sepak bukan hanya satu sukan. Beliau sering mengingatkan tentang kepentinganya dalam proses pembinaan negara kerana semua kaum menyukai sukan tersebut.