Tanah runtuh: Mayat ketiga ditemui

Kejadian tanah runtuh pada pukul 1.56 tengah hari semalam itu menyebabkan 3 cedera dan 10 lagi dikhuatiri tertimbus. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Mayat ketiga mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini ditemukan dan dikeluarkan dari timbunan tanah kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.

Mayat Khin Aye Khaing, 33, warga Myanmar ditemukan oleh unit anjing pengesan (K9) tidak jauh dari lokasi mayat kedua dijumpai.

Timbalan Komander Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) kejadian itu Mohd Tarmizi Mat Jaafar yang juga pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM ) Pulau Pinang berkata mayat wanita itu disahkan oleh suaminya yang merupakan pekerja di tapak pembinaan lebuh raya berkembar di Jalan Bukit Kukus.

Beliau berkata mayat wanita itu hanya dikeluarkan sejam selepas dijumpai berikutan kesukaran kerana keadaan tanah runtuh yang teruk di situ.

“Mayat wanita itu telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat,” katanya di sini.

Petang semalam 2 mayat ditemukan iaitu lelaki Indonesia Samsul Asman, 19, dan lelaki Bangladesh Attrul, 35.

Kejadian tanah runtuh pada pukul 1.56 tengah hari semalam itu turut menyebabkan 3 cedera dan 10 lagi dikhuatiri tertimbus.

Mohd Tarmizi berkata pihak bomba turut mendapat bantuan daripada pasukan Pencari dan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) dan operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan.

Beliau berkata anjing pengesan juga telah menemui satu lagi plot di lokasi kejadian dipercayai terdapat mangsa insiden tanah runtuh di situ dan pasukan SAR sedang berusaha mencarinya.

Terdahulu, Pengarah JBPM Pulau Pinang Saadon Moktar berkata pihak bomba dengan bantuan anjing pengesan mengenal pasti beberapa plot di lokasi runtuhan tanah itu dipercayai mempunyai mangsa tertimbus.

“Kerja mencari mangsa kini tertumpu di beberapa plot terbabit dan berharap mangsa yang tertimbus dapat ditemui.

“Setakat ini, operasi SAR tetap akan diteruskan dengan anggota akan bertugas mengikut jadual tugasan ditetapkan. Kami juga berharap semua mangsa yang masih tertimbus dapat dikeluarkan segera, walaupun terdapat kesukaran ekoran keadaan struktur tanah di lokasi kejadian,” katanya.