7 ditangkap cuba menipu dalam pemilihan PKR

Elizabeth Wong (kemeja PKR) bersama ahli parti di pusat mengundi Petaling Jaya Utara.

PETALING JAYA: Polis menangkap 7 lelaki kerana cuba menipu dalam pemilihan PKR termasuk dengan menggunakan dokumen palsu.

Sumber polis mengatakan mereka terbabit pada awalnya ditangkap kerana mengganggu proses pemilihan.

“Polis dipanggil dan kami dapati mereka memiliki dokumen pengundian palsu,” katanya, tetapi enggan menamakan bahagian-bahagian terkesan.

Beliau berkata mereka yang ditangkap daripada kumpulan-kumpulan berbeza dalam PKR.

Sementara itu, pemimpin PKR Elizabeth Wong berkata dia menghubungi polis selepas tercetus kekecohan di pusat mengundi Petaling Jaya Utara.

“Mereka buat kecoh. Mereka pasti bukan daripada kumpulan kami,” katanya.

Di Gombak, seorang pegawai parti memberitahu FMT “orang luar” membuat gangguan di pusat mengundi.

“Mereka bukan ahli PKR.”

Semalam, PKR Melaka mendakwa ia mengesan sekurang-kurangnya 1 kes politik wang semasa pemilihan di negeri itu.

Pengerusi PKR Melaka Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata kes itu berlaku di PKR Tanggau Batu, dan menambah calon menyerahkan wang RM50 kepada ahli untuk mendapatkan undi.

Hari ini ialah fasa ke-2 pemilihan parti di Selangor, selepas fasa pertama menyaksikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului pencabarnya Rafizi Ramli dalam persaingan merebut timbalan presiden.