Dr M tidak beri markah penuh kepada menteri PH

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memberikan markah penuh kepada para menteri Pakatan Harapan kerana mereka tiada pengalaman memerintah.

“Saya fikir 40/50,” katanya ketika ditanya tentang prestasi mereka dalam temubual Malaysia Baharu oleh Astro Awani.

Perdana menteri berkata meskipun mereka tiada pengalaman tetapi masing-masing mempelajari selok-belok pemerintahan dengan cepat.

“Kita bincang dengan mendalam dalam mesyuarat Kabinet berkenaan tiap-tiap sesuatu itu supaya masing-masing faham cara-cara pemerintah,” katanya.

Dr Mahathir sedar terdapat menteri-menteri yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri kerana sekian lama menjadi ahli parti pembangkang.

“Nak ubah dari parti lawan jadi parti pemerintah bukan mudah tapi alhamdulillah setakat ini kita tak dengar perkara-perkara yang tak diingini berlaku,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama berkata “kadang-kadang” menteri-menteri tidak berpengalaman mempunyai pendapat yang berbeza tentang sesuatu isu.

“Kalau perkara itu belum diputus dengan tepat maka masing-masing beri pendapat yang berbeza tapi akhirnya mereka akan patuh kepada keputusan,” katanya.

Dalam wawancara itu juga, Dr Mahathir turut mengulas mengenai pembahagian “kek ekonomi” selepas PH memerintah.

Beliau berkata pada masa ini kerajaan akan memberikan peluang yang sama kepada semua pihak.

“Terpulang kepada mereka bagaimana mereka menggunakan peluang itu untuk menjayakan diri mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata semasa menjadi perdana menteri ke-4, pentadbirannya memberi peluang kepada mereka yang berkebolehan dan menolong mereka sehingga berjaya.

Bagaimanapun akibatnya kerajaan dituduh mengamalkan kronisme.

“Sebaliknya yang kita pilih ini bukan kerana kroni tetapi mereka ada kebolehan,” katanya.

Dr Mahathir berkata pada masa itu juga pentadbirannya memberikan bantuan kepada mereka yang kurang mampu tetapi mereka gagal dan nama mereka tidak diketahui orang ramai.

“Kita tak dengar cerita berkenaan dengan mereka, yang kita dengar cerita berkenaan yang berjaya,” katanya.