Kementerian tiada kuasa dedah siasatan SPRM, Khalid beritahu C4

Khalid berkata, siasatan kementerian adalah dari sudut komersil bagi menentukan sama ada DBKL mendapat harga munasabah bagi tanah yang dijual.

KUALA LUMPUR: Desakan Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) supaya Kementerian Wilayah Persekutuan mendedahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung urus niaga beberapa keping tanah tidak boleh dipenuhi, kata Khalid Abdul Samad.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mendedahkan laporan siasatan SPRM, malah katanya siasatan yang dilakukan kementeriannya dan siasatan suruhanjaya berkenaan adalah berasingan dan dari sudut berlainan.

“Cynthia kena faham SPRM bukannya di bawah Kementerian Wilayah, mereka buat siasatan mereka secara berasingan, yang kementerian lakukan dari sudut komersil sahaja.

“Siasatan dari sudut komersil adalah bagi menentukan sama ada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapat harga munasabah untuk tanah terlibat. Siasatan aspek penyelewengan, rasuah dan sebagainya dilakukan SPRM.

“Jadi jika mahu laporannya kena minta daripada SPRM, bukan saya,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas merasmikan pusat membeli belah Plaza Arkadia, di Desa Park City, hari ini.

Terdahulu pengarah eksekutif C4, Cynthia Gabriel menggesa Khalid supaya mendedahkan hasil siasatan SPRM berkaitan perjanjian penjualan tanah milik DBKL kepada pihak swasta sebelum kerajaan Persekutuan bertukar tangan.

Cynthia turut menyeru supaya dihentikan penjualan hartanah yang tersisa, serta menyuarakan kebimbangan mengenai perkembangan isu penjualan tanah DBKL kepada pemaju swasta.

Khalid yang merupakan Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pihaknya juga tidak boleh mendapatkan maklumat serta akses kepada akaun peribadi pihak tertentu, sebaliknya hanya boleh memeriksa harga sebenar tanah yang dijual kepada pemaju.

“Kita tidak boleh akses akaun bank, kita tidak boleh lihat sama ada pegawai tertentu dapat duit atau tidak, atau menteri tertentu dapat duit. Kita hanya boleh tengok, contohnya, tanah 10 ekar dan harganya RM20 juta, sepatutnya DBKL dapat RM20 juta.

“Kalau tidak dapat RM20 juta, kita akan tanya kenapa hanya dapat RM15 juta, misalnya. Jadi bakinya sebanyak RM5 juta itu kita akan runding semula,” katanya.

Khalid turut memaklumkan rundingan dan siasatan dilakukan kementeriannya tidak akan menjejaskan siasatan yang dilakukan SPRM berkaitan penjualan tanah DBKL kepada pemaju.

“InsyaAllah, lain kali kita akan lakukan secara tender terbuka, dahulu semuanya dilakukan secara rundingan terus, dipilih kontraktor atau pemaju kemudian diserahkan,” katanya.

Sebelum ini, Khalid mengumumkan bahawa 23 transaksi tanah DBKL sebelum ini sudah dirunding semula dan berjaya meningkatkan pulangan kepada kerajaan sebanyak RM149 juta. Begitu juga kes sitaan tanah bernilai sebanyak RM113.9.