Kulasegaran: Pemandu ‘e-hailing, teksi wajib carum Perkeso bermula 1 Nov

Kulasegaran berkata, kementerian tiada sebab untuk menghukum pemandu yang gagal mencarum dan berharap ia tidak sampai ke tahap itu.

IPOH: Pemandu penyedia perkhidmatan e-hailing dan teksi diwajibkan mendaftar serta membuat caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkuatkuasa 1 Nov depan.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata pihaknya bersama Perkeso telah berbincang dengan Kementerian Pengangkutan mengenai tindakan yang akan dikenakan kepada pemandu teksi dan e-hailing yang gagal berbuat demikian.

“Kita dalam proses untuk mendapatkan kelulusan Kementerian Pengangkutan tentang mekanisme yang akan dikenakan antaranya sebelum lesen sebagai pemandu teksi atau e-hailing diperbaharui mereka perlu menunjukkan bukti bahawa mereka telah mendaftar caruman dengan Perkeso.

“Kita sedang meneliti mekanisme ini dan telah berbincang dengan persatuan teksi dan pemandu e-hailing serta sedang mendapatkan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan sebelum kementerian itu sendiri membuat pengumuman perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Bersama Pemimpin Masyarakat Peringkat Perkeso Negeri Perak Tahun 2018 di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Kulasegaran berkata sehingga kini, hanya 5,197 daripada 100,000 pemandu teksi dan e-hailing mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

“Kita tiada sebab untuk menghukum, namun kita harap tidak sampai ke tahap itu. Kita berharap mereka (pemandu teksi dan e-hailing) boleh bekerjasama dan anggota mereka dapat mencarum dengan skim itu,” katanya.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata bayaran minimum dikenakan untuk caruman adalah RM157.20 setahun dan maksimum RM592.80.

“Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini mereka akan menerima manfaat mengikut skala bayaran caruman yang telah dibuat,” katanya.

Pada program hari ini, Kulasegaran turut menyampaikan cek bayaran serta alat pemulihan dengan nnilai keseluruhan RM192,022 kepada 17 penerima faedah Perkeso yang hilang upaya kekal dan sebagainya.