Kumpulan aktivis cadang undang-undang anti-kemiskinan

Haris berkata, laporan UNDP menunjukkan kekurangan nutrisi membantutkan pertumbuhan 22% kanak-kanak di flet perumahan murah di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Sebuah gerakan akar umbi menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang baru bertujuan menghentikan insiden kemiskinan yang didakwa sedang berkembang di negara ini.

Bercakap kepada satu forum, pengasas bersama pertubuhan Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Haris Ibrahim, mengingatkan tentang usaha memperkenalkan rang undang-undang sedemikian di Dewan Rakyat pada 2014, tetapi ditolak oleh Speaker pada masa itu.

Beliau merujuk kepada Rang Undang-undang Keterangkuman Sosial yang cuba dibentangkan oleh bekas Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj sebagai satu rang undang-undang persendirian.

Rang undang-undang itu mempelopori penubuhan sebuah suruhanjaya bebas yang akan bekerja dengan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi mencari penyelesaian masalah kemiskinan di kawasan masing-masing.

Haris menyebut tentang dakwaan kerajaan sebelum ini bahawa tidak berlaku kemiskinan di Kuala Lumpur, tetapi katanya laporan Tabung Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) menunjukkan kekurangan nutrisi membantutkan pertumbuhan 22% kanak-kanak di flet perumahan murah di bandar raya itu.

Beliau juga bercakap tentang kemiskinan di negeri Terengganu yang kaya minyak, selain menyebut tentang laporan mengenai kemiskinan di Sarawak yang menyaksikan sesetengah keluarga di Batang Air di negeri itu dikatakan hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM5 sehari.

Haris mendedahkan bahawa SABM pernah bertemu wakil DAP, PKR, Amanah, Parti Sosialis Malaysia dan beberapa parti politik dari Malaysia Timur yang berkata mereka menyokong Rang Undang-undang Keterangkuman Sosial itu.

Malik Imtiaz Salwar.

Peguam hak asasi manusia, Malik Imtiaz Salwar yang juga bercakap dalam forum berkenaan mengakui kerajaan lepas ada melancarkan beberapa program pembasmian kemiskinan, tetapi mendakwa ia bertujuan mendapatkan sokongan politik.

Beliau menggesa kerajaan sekarang mengambil alih rang undang-undang Dr Jeyakumar serta mendidik rakyat supaya tidak mudah dipergunakan oleh ahli politik yang bertujuan mendapatkan undi.

Seorang lagi pengasas SABM, Jayanath Appudurai berkata, takrif garis kemiskinan yang digunakan kerajaan, iaitu pendapatan bulanan sebanyak RM980 bagi sebuah keluarga 4 anggota adalah tidak realistik

Katanya, mengikut cadangan Bank Dunia, garis itu adalah sebanyak RM2,770.

Beliau juga berkata, kebanyakan negara maju menakrifkan garis kemiskinan sebagai pendapatn bulanan bersamaan RM5,200. Jika takrif itu digunakakan katanya, 3 juta rakyat Malaysia merupakan orang miskin.