PKR cadang pemilihan semula jika tak jumpa undi hilang

PETALING JAYA: Jawatankuasa pemilihan pusat PKR akan mencadangkan pemilihan parti di Melaka dan Negeri Sembilan yang sepatutnya selesai semalam diadakan semula jika undi yang hilang tidak ditemui dalam tempoh 24 jam.

Pengerusi Datuk Rashid Din berkata cadangan itu akan dikemukan kepada pimpinan tertinggi parti jika penyelongkaran sistem e-undi yang digunakan dalam pemilihan kali ini gagal menemui undi-undi yang hilang.

“Memang ada technical glitch (gangguan kecil atau kerosakan rawak) sebab kita dapati ada undi-undi yang tidak dapat dicari dalam ‘cloud’.

“Kalau tidak jumpa juga, maka kita akan cadangkan buat pemilihan semula. Rugilah undi hilang apabila ahli keluar mengundi,” katannya kepada FMT.

Terdahulu, Rashid menyangkal pengumuman kemenangan di Melaka dan Negeri Sembilan oleh calon timbalan presiden Rafizi Ramli kerana “technical glitch” menyebabkan keputusan penuh pemilihan di 2 negeri itu belum boleh ditentukan.

Semalam, Rafizi berkata keputusan tidak rasmi di Melaka dan Negeri Sembilan menunjukkan beliau memperoleh 55% undi di Melaka dan 52% di Negeri Sembilan berbanding pesaingnnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Rafizi juga berkata keputusan bagi Rembau, Teluk Kemang dan Jelebu di Negeri Sembilan, dan Kota Melaka, Jasin dan Tangga Batu di Melaka akan diterbitkan lewat kerana “masalah internet” yang menyebabkan banyak undi belum dihantar kepada pelayar.