Rafizi dahului Azmin di Perlis

ARAU: Rafizi Ramli mendahului Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam persaingan jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan melibatkan 3 bahagian parti di Perlis hari ini.

Pengerusi PKR Perlis Mohammad Faisol Abd Rahman ketika mengumumkan keputusan rasmi itu berkata pengiraan undi menyaksikan Rafizi memperoleh 400 undi manakala Azmin meraih 334 undi.

Proses pemilihan dilihat agak hambar apabila kurang 20% daripada 5,490 anggota parti yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Keputusan pemilihan bagi ketua-ketua cabang menyaksikan Amran Kamarudin menang di Padang Besar, Noor Amin Ahmad di Kangar dan Izhar Kamarudin Sudin di Arau.