Dewan Rakyat kecoh Lim ‘usik’ Kelantan tidak bayar gaji penjawat awam

Lim Guan Eng berkata, Kelantan tidak akan mampu laksana ECRL kerana  ia tidak mampu membayar gaji penjawat awamnya.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini kecoh sebentar apabila kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa Kelantan tidak mampu membayar gaji penjawat awamnya menimbulkan perdebatan.

Lim berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, sama ada negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang boleh meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sendiri jika kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membatalkan projek itu.

“Berkenaan Kelantan, Terengganu ingin ambil alih jika (kerajaan batalkan projek ECRL) saya tunggu surat jika mereka mahu berbuat demikian.

“Saya fikir macam mana Kelantan mampu buat bila gaji perkhidmatan awam tak boleh bayar,” katanya.

Kenyataan itu dibantah oleh beberapa Ahli Parlimen BN dan PAS yang meminta Lim menarik balik kenyataan tersebut.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof untuk meminta Lim menarik balik.

“Jangan tuduh-tuduh tak boleh bayar. Yang Berhormat (YB) tarik balik. Itu sangkaan buruk,” katanya.

Takiyuddin pula meminta Lim mengemukakan bukti tahun bila Kelantan tidak membayar gaji penjawat awam mereka.

Bagaimanapun, Ariff berkata kenyataan Lim itu tidak perlu ditarik balik dan meminta sekiranya mahu penjelasan lanjut, Lim kemukakan kenyataan di luar Dewan Rakyat.

“Saya telah buat keputusan, kalau isu berbangkit lagi, selesaikan di luar,” katanya.