E-hailing kekal, setahun laksana penuh peraturan baru, kata Loke

Loke berkata, apabila dilaksanakan sepenuhnya peraturan baru itu akan meletakkan khidmat e-hailing dan teksi pada kedudukan sama.

SEREMBAN: Peraturan baru yang dikenakan ke atas perkhidmatan e-hailing akan mengambil masa setahun untuk dilaksanakan sepenuhnya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata peraturan itu telah digazetkan Julai lepas menerusi Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial (Pindaan) 2017.

Beliau berkata ia mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan sepenuhnya bagi mendaftarkan syarikat dan kira-kira 100,000 pemandu e-hailing di seluruh negara.

“Memang kita (kerajaan) telah laksanakan peraturan terhadap e-hailing selepas kerajaan menetapkan membenarkan perkhidmatan itu di negara ini.

“Apabila dilaksanakan sepenuhnya kelak, ia akan meletakkan industri e-hailing dan teksi dalam kedudukan yang sama,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan ke-18, semalam.

Loke berkata peraturan baru itu yang dilaksanakan bagi mencapai kesamarataan antara perkhidmatan e-hailing dan teksi, antara lain menetapkan pemandu e-hailing perlu mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan melakukan pemeriksaan kenderaan tahunan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan bahawa kerajaan tidak mengendahkan nasib pemandu teksi yang terpaksa bersaing dengan perkhidmatan e-hailing.

Katanya pelbagai bantuan diberikan oleh kerajaan kepada pemandu teksi seperti pemberian permit persendirian dan menetapkan peraturan terhadap e-hailing supaya kedua-dua pihak boleh bersaing dengan adil.

“Tetapi apa yang diminta pemandu teksi untuk mengharamkan syarikat e-hailing yang guna kereta persendirian tidak akan dilayan oleh kerajaan,” katanya dan menurutnya pemandu teksi tradisional digalakkan menggunakan aplikasi yang sama.

Loke berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan lebih 200 pemandu teksi Langkawi di pulau peranginan popular itu semalam, yang mahu perkhidmatan e-hailing Grab diharamkan kerana didakwa menjejaskan punca pendapatan mereka.