Malaysia boleh tebus RM10.02 bilion jika ECRL batal, kata Guan Eng

Lim Guan Eng berkata, segala butiran perundingan masih dirahsiakan sehingga rundingan selesai.

KUALA LUMPUR: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) boleh menebus balik bayaran pendahuluan RM10.02 bilion sekiranya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dihentikan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata setakat ini MRL selaku pemaju projek ECRL telah membayar kepada kontraktor utama, China Communications Construction Ltd (CCCC) sejumlah RM19.68 bilion.

“Bayaran pendahuluan sebanyak RM10.02 bilion yang bersandarkan ‘Advance Payment Bond’ dan bayaran kemajuan projek sebanyak RM9.67 bilion bagi kerja-kerja kemajuan projek setakat 15 Febuari 2018.

“Perlu dinyatakan bahawa bon bayaran pendahuluan RM10.02 bilion ini boleh ditebus oleh MRL sekiranya projek ini dihentikan. Dalam erti kata lain, sekiranya berlaku senario terburuk maka Kerajaan Persekutuan boleh mendapatkan semula RM10.02 bilion daripada RM19.68 bilion yang telah dibayar,” katanya di Dewan Rakyat.

Lim berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar; Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berhubung perkembangan terkini perbincangan kerajaan dengan kerajaan China berkenaan projek ECRL dan berapa kos keseluruhan yang telah dibelanjakan oleh pemaju projek.

Lim menambah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah mengumumkan kos sebanyak RM55 billion, tetapi jumlah kos ECRL sebenar adalah sebanyak RM80.92 billion.

Beliau berkata kos itu terdiri daripada kos pembangunan sebanyak RM69.83 bilion dan kos pembiayaan sebanyak RM11.09 bilion.

Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan masih belum memuktamadkan hala tuju projek ECRL, sama ada untuk meneruskan projek atau tidak adalah tertakluk kepada hasil rundingan yang sedang dijalankan.

Beliau berkata, buat masa ini Selangor menentang projek ECRL kerana rangkaian keretapi dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan menjejaskan permohonan Tapak Warisan Sedunia UNESCO.

“Bantahan kerajaan Negeri Selangor ini adalah berdasarkan prinsip permohonan mereka untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16 kilometer yang merupakan permatang kuartza terpanjang di dunia.

“Penyiapan landasan sambungan ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang ini tentu akan menggagalkan usaha Selangor untuk menyenaraikan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Kerajaan telah mengarahkan MRL syarikat khusus di bawah milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan mengeluarkan notis penggantungan (suspension notice) kerja serta-merta pada 3hb Julai 2018 kepada kontraktor utama iaitu CCCC.

“Oleh yang demikian, semua kerja-kerja dan perkhidmatan berkaitan projek ECRL telah digantung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata MRL dan CCCC telah mengadakan beberapa sesi rundingan teknikal sejak Julai sehingga Oktober 2018 bagi memperhalusi cadangan dan langkah-langkah untuk mengurangkan kos perbelanjaan bagi menyiapkan projek ECRL.

Beliau bagaimanapun berkata sehingga kini, pihak MRL dan CCCC masih belum mencapai persetujuan bagi cadangan pengurangan kos perbelanjaan projek ECRL.

“Namun begitu, segala butiran perundingan masih perlu dirahsiakan sehingga rundingan selesai dan persetujuan dicapai oleh kedua-dua pihak.

“Senarai agensi yang mewakili kerajaan Malaysia adalah Jabatan Peguam Negara (AGC), Majlis Penasihat Negara (CEP), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Luar (MOFA) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

“Senarai agensi yang mewakili kerajaan China pula adalah Department of Foreign Capital and Overseas Investment (NDRC), Bureau of Property Management, State-Owned Assets Supervision and Administration Commission of the State Council (SASAC), China Communications Construction Company Limited (CCCC), The Export-Import Bank of China (CEB) dan Embassy of People’s Republic of China in Malaysia,” katanya.

Pada 4 Julai lalu, Kementerian Kewangan menerusi MRL mengarahkan projek ECRL dihentikan serta-merta.

Menurut jurucakap ECRL, arahan itu bagi membolehkan kerajaan membuat rundingan dan kajian semula terhadap projek tersebut yang setakat ini sudah mencapai 14% pembinaan.