Mengantarabangsakan ‘Salam Sejahtera’ dan ‘Terima Kasih

Penggunaan ungkapan ‘Salam Sejahtera’ dan ‘Terima Kasih’ akan lebih kerap berkumandang pada persidangan antarabangsa dalam usaha memperkasakan Bahasa Melayu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata perkara itu adalah sebahagian daripada usaha kementeriannya memartabatkan bahasa kebangsaan dalam cara sesuai tanpa melibatkan sebarang implikasi kewangan.

Beliau menambah, walaupun Bahasa Melayu bukan bahasa diplomasi antarabangsa, namun penggunaannya boleh diselitkan mengikut kesesuaian oleh wakil deligasi negara termasuk duta Malaysia di negara luar.

“Saya juga memberanikan diri untuk memulakan ucapan dengan salam sejahtera dan mengucapkan terima kasih semasa berucap pada Perhimpunan Mengenang Mandela pada Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

“Mudah-mudahan ini akan membuka peluang kepada negara lain untuk mengenal bahasa kebangsaan Malaysia seperti mana penggunaan ‘sawadikap’ oleh masyarakat Thailand yang popular dan diketahui ramai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemerkasaan Profesionalisme Guru-guru Bahasa Melayu Daerah Kuantan di Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang.

Beliau menambah pihaknya akan mula memberikan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai cenderahati rasmi daripada wakil Malaysia kepada tetamu atau perwakilan asing bermula tahun hadapan sebagai tanda memperkenalkan Bahasa Melayu.

Beliau, yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk memperhebatkan lagi program ‘Education Malaysia’ yang mengetengahkan bahasa dan budaya di peringkat antarabangsa.

“Education Malaysia dilaksanakan di beberapa negara yang mempunyai ramai pelajar Malaysia dan kita bersama-sama dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhasrat menjadikannya seperti program British Council pada masa hadapan.

“Kementerian Luar bersedia menawarkan premis kerana kita sudah mempunyai ruang pejabat memandangkan bayaran sewa pejabat di luar negara adalah sangat mahal dan secara tidak langsung ini dapat menjimatkan wang,” katanya.

Saifuddin menambah kementeriannya juga bersedia membantu kementerian lain, pihak korporat, golongan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam program memartabatkan Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa termasuk menerusi filem dan sastera.