Undang-undang bukan penghalang pasangan hamil luar nikah dapatkan bantuan, kata peguam syarie

Lebih penting anak yang dikandung dapat diselamatkan dan diberikan pembelaan sewajarnya daripada menjadi mangsa keadaan. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia percaya walaupun terdapat peruntukan undang-undang terhadap hamil luar nikah, ia sepatutnya tidak menjdi sebab yang menghalang pihak yang terlibat dengan tampil ke hadapan untuk mengatasi masalah dihadapi dengan baik.

Presidennya, Musa Awang berkata, undang-undang yang diwujudkan itu tidak semata-mata bertujuan untuk menghukum, malah dalam sesetengah keadaan ia bergantung kepada budi bicara hakim dan Jabatan Agama yang mungkin hanya menetapkan sesi kaunseling kepada pasangan atau individu terbabit.

Katanya Jabatan Agama biasanya tidak akan membuat pendakwaan sekiranya tidak ada aduan atau sebelum penyiasatan terperinci dijalankan.

“Pihak yang terlibat tidak perlu khuatir untuk tampil ke hadapan bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya.

“Lebih penting anak yang dikandung diselamatkan dan diberikan pembelaan sewajarnya daripada menjadi mangsa keadaan.

“Anak dalam kandungan tidak bersalah. Yang bersalah ialah si pelaku lelaki dan wanita, jadi sewajarnya pasangan terlibat lebih memikirkan kebajikan anak itu dengan tampil bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, remaja yang terlanjur sehingga mengandung anak luar nikah tidak perlu takut untuk tampil ke hadapan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Beliau dilaporkan berkata, pihak terbabit, terutamanya golongan remaja perlu mendapatkan bantuan dan mencari jalan penyelesaian terbaik.

Di Malaysia, terdapat hukuman bagi kesalahan hamil luar nikah di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah. Antara negeri yang memperuntukkan hukuman ialah Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis dan Sabah.

Musa berkata, walaupun hamil luar nikah merupakan satu kesalahan di bawah enakmen syariah negeri, namun ia lebih bertujuan menetapkan had ke atas tingkah-laku seksual orang Islam, terutamanya sebagai benteng moral bagi mencapai tujuan syariah, iaitu menjaga keturunan manusia.

Katanya, ia juga bertujuan menimbulkan rasa gerun atau amaran supaya anggota masyarkat tidak melakukan kesalahan sedemikian yang akan menimbulkan lebih banyak masalah lain.

“Jika tiada undang-undang, maka tidak akan ada benteng dan kawalan moral ke atas tingkah laku anggota masyarakat,” katanya.

Lebih buruk lagi katanya, jika anak yang lahir dibuang atau dibunuh, maka individu terbabit akan berhadapan masalah lebih besar lagi, bukan sahaja didakwa kerana melakukan seks luar nikah, malah mungkin didakwa kerana membuang bayi, menyebabkan kematian atau membunuh yang merupakan kesalahan di bawah Kanun Kesiksaan pula.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengadakan kempen “anti seks luar nikah” secara besar-besaran agar ia dapat memberi pendedahan dan peringatan kepada golongan muda khususnya supaya menjauhi seks bebas.

“Kerajaan juga bukan sahaja perlu memberi bantuan kepada mereka yang terlanjur, tetapi lebih penting mengadakan kempen supaya dielakkan keterlanjuran.”

Dalam pada itu kata beliau, perhatian juga harus diberi kepada usaha mengambil tindakan ke atas pasangan lelaki yang terlibat, sama ada mewajibkan kaunseling atau diambil tindakan undang-undang sepatutnya, dan tidak hanya tertumpu kepada pasangan wanitanya.