2 petugas kesihatan antara 14 maut ditembak di Congo

Kejadian itu berlaku di timur Congo, kawasan militia menghalang usaha kerajaan membendung wabak Ebola. (Gambar Reuters)

KINSHASA: Seorang lelaki bersenjata tidak dikenali menembak mati sekurang-kurangnya 14 orang, termasuk 2 petugas kesihatan di timur Congo, di mana militia menghalang usaha kerajaan membendung wabak Ebola.

Penularan wabak terkini itu menyebabkan 152 orang maut, kebanyakannya di wilayah Utara Kivu dan Ituri, yang menjadi pusat pemberontakan bersenjata dan pembunuhan etnik sejak 2 perang saudara pada akhir 1990-an.

Jumlah kes meningkat dengan pantas sejak 2 minggu lalu dan jawatankuasa pakar kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Rabu berkata, wabak itu mungkin bertambah buruk.

Menteri Kesihatan, Oly Ilunga berkata, insiden tembakan itu amat menyedihkan dan petugas kesihatan tidak sepatutnya menjadi sasaran kumpulan bersenjata. Bagaimanapun, penyerang belum dapat dikenal pasti.

Ketegangan tercetus kerana penduduk tempatan tidak percaya usaha mengekang penularan wabak oleh petugas kesihatan.

Petugas kesihatan juga berdepan kumpulan pemberontak yang mengganggu rawatan, proses pengebumian pesakit maut akibat Ebola dan program vaksinasi.

Kementerian Kesihatan berkata, sekumpulan 22 lelaki di Butembo menggali kubur mangsa Ebola untuk memastikan organ mereka dikeluarkan pekerja kesihatan, dengan itu menyebabkan mereka mudah dijangkiti.

Ahad lalu, semua lelaki itu diberikan suntikan vaksin.