‘Misi ke Jepun, Korea Selatan tarik pelaburan hampir RM3 bilion’

Darell Leiking berkata, misi galakan itu akan diteruskan tahun depan dengan memfokuskan rakan dagang utama dan strategik Malaysia berdasarkan sektor tumpuan.

KUALA LUMPUR: Misi perdagangan ke Jepun dan Korea Selatan minggu lalu berjaya membawa pulang pelaburan berjumlah RM2.84 bilion, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking.

Beliau berkata, misi itu merangkumi 91 perwakilan dari kementerianya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), syarikat tempatand dan exco Johor, Terengganu, Melaka serta Pulau Pinang.

“Kaedah 3S, iaitu ‘Search, Seek dan Secure’ diguna pakai dalam misi galakan ini dan berjaya menarik pelaburan berpotensi berjumlah RM2.13 bilion dari Jepun, terutama industri petrokimia, logistik, peralatan perubatan, elektrik dan elektronik, perkakas rumah dan perabot.

“Import potensi yang dimeterai dengan syarikat dari Osaka sebanyak RM33 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengadakan misi galakan perdagangan dan pelaburan ke Jepun dan Korea Selatan dari 14 hingga 21 Oktober lalu.

Darell berkata, misi galakan ke Korea mendapat pelaburan berjumlah RM711.4 juta dalam sektor bahan kimia, elektrik dan elektronik serta perkakas rumah.

“Jualan berpotensi dianggarkan RM1 bilion.”

Katanya, misi perdagangan dan pelaburan itu akan diteruskan tahun depan dengan memfokuskan rakan dagang utama dan strategik Malaysia berdasarkan sektor tumpuan.

“Ini termasuklah Asean, Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah, India, Afrika Selatan, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.”