PBB puji cadangan mansuh hukuman mati, kata menteri

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori mendapat maklum balas positif daripada pihak antarabangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Beliau bagaimanapun menegaskan cadangan itu masih dalam proses penelitian menyeluruh dan ia akan diputuskan Kabinet untuk tindakan lanjut.

“Selepas pihak peguam negara selesai dengan kajian mereka, ia akan dibentangkan kertas itu kepada saya untuk dibawa ke peringkat jemaah menteri bagi mendapatkan keputusan,” katanya selepas menghadiri rakaman program “Upsound” Bernama News Channel bagi membincangkan isu pemansuhan hukuman mati, semalam.

Liew berkata, selepas mendapat kelulusan Kabinet, cadangan pemansuhan hukuman itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk dibahas dan diputuskan.

“Sekiranya dapat…kita proses (dibentang kepada Dewan Rakyat) tahun ini, dan sekiranya tak sempat, kita akan proses tahun depan pada sesi akan datang, 2019 pada bulan Mac.”

Liew berkata, langkah pemansuhan hukuman itu mendapat pujian pelbagai pihak, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang positif dengan langkah tersebut.

Pada 7 Oktober lalu, Liew memaklumkan kajian memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini di peringkat akhir, sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.