Peru arah Sepanyol tahan bekas hakim sehingga diekstradisi

LIMA: Mahkamah Persediaan Siasatan Peru mengarahkan bekas hakim, Cesar Hinostroza yang kini diburu dan melarikan diri ke Sepanyol, ditahan sementara selama 36 bulan.

Beliau didakwa terlibat dalam jenayah terancang, menerima tajaan secara tidak sah dan menyalahgunakan kuasa.

Permohonan itu dikemukakan Kementerian Awam yang menjalankan siasatan awal terhadap bekas hakim dipecat itu.

Menurut Hakim Hugo Nuñez, tertuduh melarikan diri ke Sepanyol selepas Kongres Peru meluluskan aduan mengenai jenayah dilakukannya.

Mahkamah turut mendapati Hinostroza melanggar sekatan perjalanan yang dikenakan ke atasnya.

Difahamkan, beliau sudah ditangkap dan akan berada di penjara Sepanyol sehingga proses ekstradisi selesai.

Dalam satu siri rakaman audio dikeluarkan TV Panorama dan laman web kewartawanan penyiasatan IDL-Reporteros, Hinostroza didakwa berunding dengan seorang individu dan menerima habuan untuk mengurangkan hukuman ke atas perogol kanak-kanak.

Tindakan itu dikecam rakyat Peru. Pada 4 Oktober lalu, Kongres Peru meluluskan pemecatan Hinostroza dan beliau tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran awam selama 10 tahun.