PM tegur tapi menteri tak hormat, kata gabungan teksi
Gabungan Teksi SeMalaysia mahu Loke Siew Fook meletak jawatan kerana gagal menyelesaikan isu teksi.
PETALING JAYA: Gabungan Teksi SeMalaysia hari ini mendesak Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook meletak jawatan kerana didakwa tidak menghormati teguran perdana menteri tentang permasalahan teksi.
Yang Dipertua Kamarudin Mohd Hussain dalam kenyataan berkata berdasarkan penerangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ahad maka Loke yang sepatutnya dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan.
“Pencerahan perdana menteri di dalam majlis berdialog bersama pemandu teksi di Langkawi jelas membuktikan menteri berkenaan tidak menghormati teguran yang berkali-kali telah dibuat oleh perdana menteri,” katanya.
Kamarudin berkata tidak masuk akal mereka mahu Dr Mahathir meletak jawatan kerana “negara masih memerlukan perdana menteri memulihkan negara”.
Beliau berkata mereka akan menunjuk perasaan secara aman di Padang Merbok esok bagi mendesak Loke disingkirkan.
“Beliau gagal menyelesaikan isu teksi. Beliau juga bertanggungjawab di atas apa yang berlaku kepada perdana menteri di Langkawi, bahkan kerana beliau juga masyarakat mengecam industri kami,” katanya.
Pertemuan antara perdana menteri dan persatuan pemandu teksi di Langkawi, Kedah pada Ahad kecoh apabila beberapa orang ahli persatuan bertindak keluar majlis kerana tidak setuju dengan pandangan Dr Mahathir berhubung perkhidmatan perkongsian kenderaan.
Kira-kira 10 orang pemandu berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar ketika perdana menteri berkata beliau akan mencari jalan terbaik menyelesaikan isu berbangkit.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Perdana menteri berasa kecewa dengan sikap pemandu terbabit yang enggan mendengar penjelasannya dan sanggup meletak jawatan.