
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengikut cadangan kerajaan persekutuan menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun, kata Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal.
Shafie hari ini mengesahkan kerajaan negeri hanya akan membenarkan mereka bawah usia 18 tahun berkahwin jika diizinkan mahkamah.
“Ada orang yang mahu berkahwin di usia muda. Mungkin mereka berusia 16 tahun dan mahu berkahwin atas sebab-sebab tertentu.
“Kita ada ordinan yang menentukan perkara ini, dan ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi. Mereka perlu ke mahkamah, termasuk mahkamah syariah.
“Tetapi kita akan ikut cadangan menaikkan usia perkahwinan kepada 18 tahun,” katanya.
Had umur minimum perkahwinan di Sabah bagi perempuan ditetapkan pada usia 16 tahun dan 18 tahun bagi lelaki.
Bulan lepas, Mufti Sabah Bungsu @ Aziz Jaafar dikritik kerana menyeru had umur perkahwinan bagi orang Islam diturunkan kepada usia 14 tahun bagi perempuan dan 16 tahun bagi lelaki.
Shafie juga dikritik kerana dia dilihat menyokong pendirian Bungsu apabila dia berkata usia 18 tahun sedikit “lanjut” untuk sesetengah perempuan berkahwin.
Menjawab seruan mengehadkan penggal ketua menteri kepada 2 penggal daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Shafie berkata dia boleh menerima langkah itu.
“Kita akan tengok sama ada kita perlu pinda perlembagaan negeri untuk membenarkan perkara itu. Seperti yang anda tahu ia tidak terdapat dalam enakmen kami.
“Cadangan itu sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) tetapi Warisan bukan anggota PH. Kami bekerjasama dengan PH. Warisan bersendirian tetapi kami sedia menerima cadangan,” katanya.