Seni ukiran kayu terus jadu buruan kraf bernilai tinggi

Begitu khusyuk lelaki berkulit sawo matang itu membelek satu demi persatu kayu yang disusun rapi di penjuru bengkelnya.

“Pemilihan jenis kayu yang sesuai penting untuk menghasilkan kraf hiasan kayu yang bermutu, “ beliau berkata sambil berpaling kepada penulis sejurus menyedari dia sedang diperhatikan.

Azizul Ahmad, 45, kelihatan begitu khusyuk memilih jenis kayu yang sesuai untuk dijadikan produk bernilai tinggi dan akhirnya kayu jati berukuran kira-kira 25cm panjang dan lebar menjadi pilihannya. Tanpa berlengah, dia dengan penuh berhati-hati mula mengukir motif ombak pada kayu berkenaan.

“Bukan semua kayu boleh digunakan untuk buat kraf hiasan kayu. Untuk produk dalaman, kayu yang sesuai digunakan untuk ukiran adalah jati, angsana dan juga cengal.

“Manakala kayu balau untuk produk luaran kerana mempunyai ketahanan yang kuat. Selain faktor ini, nilai komersial seperti warnanya, urat kayu turut mempengaruhi pemilihan kayu,” katanya kepada Bernama.

Penulis bertemu Azizul di bengkelnya di Kelibang semasa Lawatan Industri Perkayuan (24 Sept – 27 Sept) anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Azizul bagaimanapun terpaksa menghentikan proses ukiran tersebut kerana terdapat masalah pada mata pahat.

“Mata pahat ini tak tajam, jadi apabila kita buat ukiran ia tak cantik dan hasilnya kasar. Kualiti kehalusan seni kraf ukiran kayu amat saya pentingkan apatah lagi saya sedang siapkan tempahan papan tanda untuk hotel bertaraf 5 bintang.

“Ramai yang menyangkakan asah mata pahat ini senang macam asah pisau. Tetapi, sebenarnya ia agak sukar dan mempunyai teknik tertentu dan saya ambil masa selama 3 bulan untuk belajar cara asah mata pahat sahaja,” kata Azizi yang dilahir dan dibesarkan di Langkawi kepada Bernama.

Asah tentukan kualiti

Berkecimpung selama 20 tahun dalam dunia kraf kreatif, Azizul adalah antara pengukir kayu negara yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Hasil seni pemilik syarikat Idea Craft & Wood Enterprise ini sentiasa menjadi buruan dalam kalangan pencinta kraf kayu.

Menariknya, pelanggan anak jati pulau legenda Mahsuri ini bukan sahaja meliputi orang biasa, individu kenamaan bahkan turut menambat perhatian banyak hotel ternama di Langkawi yang mahukan produknya menghiasi ruang perniagaan mereka.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah dalam kalangan hotel dan syarikat korporat. Boleh dikatakan, lebih 10 hotel ternama Langkawi pernah menggunakan perkhidmatan saya untuk mengukir papan tanda, kotak hiasan dalam bilik, tempat letak sabun dan sebagainya.

“Disebabkan itu, saya amat pentingkan kualiti dan ia bermula daripada perkara paling asas iaitu mata pahat. Ramai orang salah faham menyangkakan kualiti kraf kayu hanya terletak kepada pemilihan kayu semata-mata,” katanya.

Menurut Azizul, proses mengasah mata pahat merupakan perkara paling penting yang diajar ketika dia mempelajari kemahiran ukiran kayu di Sekolah Tinggi Seni Indonesia (STSI), Bali, semasa menuntut di sana selama setahun.

Ini kerana, kesilapan mengasah mata pahat bukan sahaja ‘mencacatkan’ kualiti produk kayu dihasilkan bahkan juga mudah merosakkan peralatan paling utama bagi pengukir kayu ini.

“Mata pahat mudah rosak dan boleh patah apabila salah teknik asah. Teruklah kalau asyik hendak beli kerana pahat sahaja ada 45 jenis.

“Kebanyakan mata pahat ini bentuknya lengkung dan semua sudut perlu diasah. Bukan mudah, tapi caranya adalah dengan membentuk satu corak pada batu yang kemudiannya akan diasah menggunakan teknik tertentu,” katanya.

Keunikan motif

Mendengar penerangan mengenai cara kerja yang begitu teliti serta mementingkan kualiti dalam penghasilan produk, maka tidak menghairankan apabila beliau mampu bertahan lebih satu dekad dalam bidang yang diceburinya itu.

Apatah lagi, bukan mudah untuk mendapat kepercayaan hotel ternama dan syarikat korporat menggunakan kepakaran pengukir tempatan berikutan persaingan hebat daripada kalangan pengukir dari negara jiran seperti Indonesia.

Menurut Azizul, beliau bukan dilahirkan dalam keluarga pengukir, justeru pencapaiannya sudah tentu membanggakan. Beliau bermula dari ‘kosong’ dan ‘bertatih’ sendirian menerokai bidang itu setelah tamat belajar di Indonesia.

Keunikan ukiran beliau terletak pada motif yang digunakan iaitu moden kontemporari alam semula jadi yang terdapat di sekitar Langkawi untuk dijadikan identiti produk kayu miliknya.

“Motif yang selalu saya gunakan adalah awan, gelombang, arus laut, akar, ranting dan daun. Saya jarang guna corak bunga kerana ingin menampilkan ukiran lain dan bukan tradisional.

“Motif saya mudah. Saya tidak mahu terlalu padat seperti penuh kerawang pada produk kraf yang dihasilkan kerana pelancong antarabangsa suka corak moden kontemporari disebabkan ia lebih segar,” katanya.

Antara produk kraftangan yang dihasilkannya adalah bingkai dinding atau pintu untuk perhiasan rumah, bingkai cermin, tempat letak lilin, rantai kunci, ‘fridge magnet’ dan jubin kayu. Harga produk berkenaan boleh mencecah ribuan ringgit.

Menurut Azizul, produknya mula menarik perhatian pelancong antarabangsa apabila turut dipasarkan di kedai cenderahati hotel ternama selain menyertai pelbagai pameran industri kayu mahupun kraf.

“Saya pernah menghantar produk kraftangan saya ke Perancis, Belanda, Jepun, Singapura dan Korea. Tidak dinafikan pendapatan sebagai pengukir kayu ini boleh menjanjikan kehidupan selesa. Yang penting, kena rajin, disiplin dan tidak mudah putus asa,” katanya.

Cabaran terbesar

Bagaimanapun, agak menyedihkan kerana tidak ramai anak muda yang berminat berkecimpung dalam “dunia penuh habuk dan tidak glamor”, ini sekali gus memberi cabaran hebat buat Azizul.

Mengakui berhadapan masalah mencari tenaga kerja, boleh dikatakan semua kerja mengukir di bengkelnya terpaksa dilakukan sendirian sepanjang 20 tahun mengusahakan perniagaan tersebut kerana kesukaran mencari tukang kraf muda yang komited.

Disebabkan itulah, pengeluaran kraf kayu Azizul agak terhad dan sesiapa yang menempah produk dengannya terpaksa bersabar untuk mendapatkannya. Biarpun terpaksa menunggu agak lama, tetapi itu tidak menjadi masalah bagi mereka yang begitu meminati kehalusan kerja tangan lelaki ini.

“Di Langkawi, memang tidak ramai pengukir kayu. Hanya ada 4 orang termasuk saya sedangkan pasaran produk ini sangat luas di pulau ini kerana faktor kedatangan pelancong luar dan tempatan.

“Permintaan boleh dikatakan tidak menang tangan dibuatnya. Kerana itu, saya jarang mengambil tempahan bingkai dinding atau pintu yang berukuran saiz besar disebabkan proses ukirannya ambil masa lama sehingga mencecah sebulan,” katanya.

Mengharapkan lebih ramai anak muda menerokai bidang tersebut, Azizul berkata banyak peluang yang disediakan kerajaan bagi memastikan industri kayu ini tidak dimamah usang atau tidak ada pengganti. Ini termasuklah, pemberian bantuan dari pembinaan bengkel, mesin, latihan meliputi kemahiran, inovasi produk dan juga strategi pemasaran.

“Saya mendapat bantuan beberapa mesin pemotongan kayu daripada MTIB. Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia turut memberi bantuan mesin ketam kayu.

“Walaupun proses ukirannya boleh dikatakan 90% dibuat dengan tangan tetapi bantuan sebegini banyak membantu pengusaha seperti kami,” katanya.