Tak perlu tubuh tribunal siasat ahli SPR, kata menteri

Liew Vui Keong berkata, SPR sedang menjalankan proses pembaharuan yang dipimpin Art Harun dan yakin beliau mampu menyelesaikan masalah terdahulu.

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan menubuhkan tribunal untuk menyiasat dakwaan salah laku Suruhanjaya Pilihan Raya kerana tempoh perkhidmatan timbalan pengerusi dan 4 ahlinya dipendekkan sehingga Januari depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Katanya, keputusan itu diambil kerana Putrajaya yakin dengan kepimpinan Azhar Harun atau lebih dikenali Art Harun dan ahli baru dalam mereformasikan SPR.

“Tempoh perkhidmatan 5 anggota SPR akan dipendekkan dan mereka akan mengosongkan jawatan masing-masing berkuat kuasa 1 Januari 2019 menyebabkan penubuhan tribunal untuk siasat mereka tidak berbangkit.

“…SPR sedang menjalankan proses pembaharuan yang dipimpin oleh Art Harun dan saya yakin beliau akan tambah baik proses SPR dan beri idea mereformasikan SPR dan selesaikan masalah terdahulu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) sama ada kerajaan akan menubuhkan tribunal bagi menyiasat dakwaan salah laku SPR, khasnya ketika menguruskan pilihan raya umum ke-14 lalu dan tujuan pemecatan mengikut Perkara 114 (3) dan 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 18 Oktober lalu, Art Harun mengumumkan 5 ahli SPR, termasuk Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood akan melepaskan jawatan mereka berkuat kuasa 1 Januari nanti.

Empat yang lain adalah Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi dan Datuk Leo Chong Cheong, manakala seorang lagi ahli SPR, Datuk K Bala Singham tidak meletak jawatan.

Art Harun dilantik sebagai pengerusi SPR pada 21 September lalu, menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang meletak jawatan Jun lalu.

Sementara itu, Khoo dalam soalan tambahannya ingin tahu adakah pengunduran 5 ahli SPR itu dapat menyelesaikan dakwaan akauntabiliti dan salah laku SPR pada pilihan raya umum 9 Mei lalu serta memastikan ia tidak berulang.

Liew yakin kepimpinan baru SPR mampu menangani isu berkaitan PRU14 yang turut dimasukkan dalam petisyen pilihan raya, di mana mahkamah sudah membuat keputusan mengenainya.

“Ramai anggota kerajaan, ahli dewan beri sokongan penuh kepada Art Harun menerajui SPR.

“Pelantikan Art Harun diterima baik kerajaan dan yakin beliau dapat jalankan tugas dengan profesional dalam mereformasikan SPR menjadi lebih baik serta bertanggungjawab.”