1MDB: Rosmah dijangka disoal polis Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, dijangka hadir memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan kes penyelewengan dana 1MDB pada Jumaat ini.

Menurut sumber, Rosmah yang sebelum ini dijadual memberi keterangan esok kepada pasukan siasatan jenayah pengubahan wang haram polis di Menara KPJ, Jalan Tun Razak meminta proses itu ditangguhkan.

“Proses ambil keterangan yang dijadual esok telah ditangguhkan atas permintaan Rosmah.

“Selain Rosmah, 2 anaknya iaitu Riza Aziz dan Mohd Norashman juga akan hadir memberi keterangan,” kata sumber ketika dihubungi hari ini.

Pada 4 Oktober lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya berkemungkinan memanggil Rosmah bagi mengambil keterangan melibatkan pelbagai kes termasuk 1MDB.