‘6 akta akan dibentang di Parlimen untuk dipinda atau mansuh’

Muhyiddin Yassin berkata, sebuah jawatankuasa teknikal di Jabatan Peguam Negara sedang meneliti laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Undang-undang Keselamatan.

KUALA LUMPUR: Pindaan atau pemansuhan 6 akta berkaitan keselamatan negara serta hukuman mati dalam semua akta bakal dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan atau selewat-lewatnya pada persidangan berikut, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Enam akta itu adalah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Muhyiddin berkata, Jawatankuasa Khas Mengkaji Undang-undang Keselamatan yang ditubuhkan Julai lalu sudah menyiapkan laporannya dan ia kini diteliti sebuah jawatankuasa teknikal di Jabatan Peguam Negara.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyediakan memorandum jemaah menteri untuk mendapatkan keputusan jemaah menteri mengenai pindaan atau pemansuhan undang-undang berkaitan keselamatan berdasarkan pandangan yang dikemukakan jawatankuasa khas dan penelitian lanjut oleh Jabatan Peguam Negara.

“Setelah mendapat keputusan jemaah menteri, pihak Jabatan Peguam Negara akan menyediakan rang undang-undang berkaitan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Sebahagian daripada rang undang-undang ini insya Allah akan dapat dibentangkan di Dewan Rakyat dalam November 2018 atau selewat-lewatnya dalam sidang Dewan Rakyat akan datang,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Muhyiddin berkata, KDN sudah mengarahkan polis merangka prosedur operasi standard (SOP) baru bagi menangani kes melibatkan penahanan di bawah 6 akta kontroversi itu sementara menunggu keputusan pindaan atau pemansuhannya.

“Ini sehingga pindaan atau pemansuhan undang-undang berkaitan keselamatan diluluskan Parlimen dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

“Arahan saya supaya pihak penguat kuasa undang-undang seboleh mungkin meraikan hak rakyat untuk bersuara, berhimpun dan bergerak bebas, selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.”

Pagi tadi, kira-kira 100 ahli keluarga tahanan di bawah Sosma berarak dari Padang Merbok ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada Muhyiddin.

Sosma antara undang-undang yang dijanjikan Pakatan Harapan untuk dimansuhkan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14.

Di bawah Sosma, seorang individu boleh ditahan maksimum 28 hari dan polis boleh menangguhkan akses kepada keluarga dan peguam sehingga 48 jam selepas ditahan.