Bekas ketua perbendaharaan Irwan ditahan SPRM

SPRM berkata, Irwan Serigar Abdullah akan didakwa di mahkamah bersama Najib Razak esok berhubung beberapa kes pecah amanah membabitkan dana kerajaan.

PUTRAJAYA: Bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pembayaran hutang 1MDB kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Sumber SPRM berkata, beliau ditahan 3.35 petang tadi ketika hadir di ibu pejabat agensi anti-rasuah itu untuk memberi keterangan.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut hadir memberi keterangan berhubung isu sama, meninggalkan ibu pejabat SPRM 5 petang tadi.

Terdahulu, SPRM dalam satu kenyataan berkata, Najib dan Irwan dipanggil hari ini bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan.

Katanya, ia mendapat izin Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa kedua-duanya bersama di mahkamah esok berhubung beberapa kes pecah amanah membabitkan dana kerajaan.

Semalam, FMT melaporkan Najib dan Irwan dijangka didakwa bersama untuk sekurang-kurangnya 6 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM6 bilion.

Pertuduhan itu dikaitkan dengan skandal 1MDB, projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) serta 2 projek saluran paip gas di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Sumber memberitahu FMT yang Najib dan Irwan dijangka didakwa menggunakan peruntukan kerajaan untuk melangsaikan hutang 1MDB dengan IPIC.

Syarikat milik kerajaan, 1MDB dalam perjanjian penyelesaian bersetuju membayar AS$1.2 bilion kepada IPIC menerusi 2 ansuran pada Ogos dan Disember tahun lalu.