Kanak-kanak bantut, kebuluran serius di India

India mempunyai 1/3 daripada jumlah kanak-kanak yang terbantut tumbesarannya di seluruh dunia. (Gambar Reuters)

NEW DELHI: Beberapa penunjuk ekonomi utama mencatatkan India adalah salah 1 daripada negara paling besar dan pesat di dunia.

Namun, apabila memikirkan faktor pembangunan manusia, timbul pula gambaran yang sangat memilukan.

Menurut Indeks Kelaparan Global 2018 yang diterbitkan baru-baru ini, masalah kelaparan di India mencapai tahap “serius” dan menduduki tempat ke-103 daripada 119 negara, jatuh 3 tangga berbanding tahun lalu.

Kebanyakan negara jiran India menduduki tempat lebih baik dengan China berada pada tangga ke-25, Sri Lanka ke-67, Myanmar ke-68, Nepal ke-72 dan Bangladesh ke-86. Pakistan menduduki tempat lebih teruk iaitu ke-106.

Antara penemuan membimbangkan adalah sesuatu yang ditakrifkan sebagai “kanak-kanak terlalu kurus” atau keadaan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun yang mempunyai berat badan sangat rendah untuk ketinggian tubuh mereka berikutan faktor kurang pemakanan yang teruk.

Dari segi tahap kebuluran, India mencatatkan tahap tertinggi di Asia iaitu sebanyak 21%.

Indeks kebuluran yang diterbitkan oleh Concern Worldwide and Welthungerhilfe, bagaimanapun, mencatat angka kematian kanak-kanak di India menurun dari 9.2% pada 2000 kepada 4.3% pada 2018 dan kanak-kanak terbantut pertumbuhan juga berkurangan 54.2% kepada 38.4%.

Tinjauan National Family Health Survey India pula mendapati, negara ini mempunyai 1/3 daripada jumlah kanak-kanak yang terbantut tumbesarannya di seluruh dunia.

Tahap kebuluran yang serius itu adalah sangat ketara berbanding pencapaian ekonomi menberangsangkan seperti yang dinyatakan oleh institusi nasional serta agensi global seperti Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).

Ekonomi India yang bernilai AS$2.5 trilion merupakan ke-6 terbesar di dunia pada tahun lalu dan dijangka meningkat 2 kali ganda menjelang 2025. Negara ini juga dijangka menjadi pasaran pengguna ke-3 terbesar dunia kelak.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), India mempunyai pelbagai sumber kewangan dan manusia “untuk meningkatkan respons nasional,” dalam menangani masalah kanak-kanak kurang pemakanan.

Sukar untuk mempercayai tahap kebuluran yang tinggi wujud di salah sebuah negara pengeksport utama makanan di dunia.

Menurut Agricultural and Processed Food Products Export Development Authority India, eksport beras melebihi AS$5.7 bilion sementara eksport daging pula kira-kira AS$4 bilion pada tahun kewangan 2016-2017 (April-Mac).

Dari segi jumlah, eksport daging kerbau India pada tahun berakhir 31 Mac, 2018 adalah sebanyak 1.35 juta tan manakala eksport beras pula 12.7 juta tan.

Selain daging dan beras, India juga adalah pengeksport utama barangan seperti gula, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Bagaimanapun, keselamatan makanan adalah kebimbangan utama bagi sejumlah besar rakyat di negara ke-2 paling ramai penduduk di dunia.

Dengan ekonomi luar bandar India menunjukkan keadaan lebih mencengkam pada tahun-tahun kebelakangan ini, persoalan akses kepada makanan mungkin berubah menjadi lebih suram.

Kerajaan mempunyai pelbagai inisiatif nasional untuk menangani masalah berkaitan keselamatan makanan bagi kumpulan penduduknya yang kurang bernasib baik.

Kira-kira 800 juta penduduk dikenal pasti untuk mendapat perlindungan di bawah National Food Security Act 2013, yang memperuntukkan bantuan barangan asas makanan bersubsidi seperti bijirin, gandum dan beras kepada 75% penduduk luar bandar dan 50% penduduk bandar.