Najib, Irwan Serigar ke SPRM bantu siasatan kes 1MDB, IPIC

Najib Razak senyum sejurus keluar dari kereta, setibanya di ibu pejabat SPRM hari ini.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk membantu siasatan berhubung kes pembayaran hutang 1MDB kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Bekas perdana menteri itu tiba pada jam 1.54 tengah hari dengan memakai sut biru.

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah pula tiba pada jam 3.25 petang.

Semalam, FMT melaporkan kedua-duanya dijangka didakwa bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok, dengan sekurang-kurangnya 6 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM6 bilion.

Pertuduhan itu dikaitkan dengan skandal 1MDB, projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) serta 2 projek saluran paip gas di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Sumber memberitahu FMT yang Najib dan Irwan dijangka didakwa menggunakan peruntukan kerajaan untuk melangsaikan hutang 1MDB dengan IPIC.

Syarikat milik kerajaan, 1MDB dalam perjanjian penyelesaian bersetuju membayar AS$1.2 bilion kepada IPIC menerusi 2 ansuran pada Ogos dan Disember tahun lalu.

Najib yang beberapa kali dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan SPRM, kini berdepan 32 pertuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Pada 4 Julai lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap 3 pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos lalu, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 3 pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International menerusi 2 akaun miliknya, 4 tahun lalu.

Pada 20 September lalu, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan 4 pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.