PAS: Bantuan kewangan negeri tanggungjawab kerajaan pusat

Hadi Awang berkata semua kerajaan negeri mempunyai hutang dengan kerajaan pusat.

KUALA LUMPUR: PAS mendakwa menjadi tanggungjawab kerajaan pusat untuk menyalurkan bantuan kepada mana-mana negeri yang memerlukan bantuan kewangan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata di bawah konsep federalisme yang diamalkan di Malaysia, setiap negeri diwajibkan membayar cukai dan boleh meminta bantuan Putrajaya sekiranya memerlukan.

Katanya, kerajaan perlu memulangkan semula hasil cukai yang dikutip kerajaan pusat dengan memberikan bantuan kewangan kepada negeri yang memerlukan.

“Kelantan juga bayar cukai, contoh cukai kenderaan, pakaian, makanan. Semua cukai ini diambil kastam.

“Kastam kerajaan pusat. Kelantan ada hasil bumi dia yang kerajaan pusat ambil. Itulah kewajipan pusat kena bayar balik kepada negeri.

“Itu tanggungjawab dan kita bukan minta sedekah,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi parlimen hari ini.

Menteri kewangan hari ini menunjukkan bukti Kelantan memohon pinjaman pendahuluan RM97 juta bagi menampung aliran wang tunai kerajaan negeri pada tahun ini.

Tetapi, Lim Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan hanya meluluskan RM22.5 juta kepada Kelantan untuk membayar gaji kakitangan awam serta bayaran bil melebihi 14 hari.

“Pada asalnya mereka memohon pinjaman bagi pengurusan, termasuk pembayaran gaji sebanyak RM24.5 juta sebulan, tetapi kerajaan hanya luluskan RM22.5 juta kerana kita hendak cepat (beri pinjaman) supaya gaji kakitangan mereka dapat dibayar,” katanya.

Hadi menambah, semua kerajaan negeri mempunyai hutang dengan kerajaan pusat, bukan hanya Kelantan.

Bidasnya, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan mampu mentadbir kewangan sebaik Kelantan sekiranya menghadapi masalah yang sama dengan Kelantan yang tidak mempunyai hasil bumi yang banyak.

“Semua negeri ada hutang bukan kita saja. Tapi kerajaan negeri mampu bayar hutang dia secara berperingkat dalam tadbir urus, dah masuk 28 tahun kita boleh bertahan.

“Saya percaya Pulau Pinang tidak boleh buat macam itu, tidak mampu buat macam Kelantan kalau tiada hasil macam Kelantan,” katanya.