Penghantar makanan selamatkan kanak-kanak lemas

Seorang penghantar makanan yang berusia 23 tahun, He Linfeng menjadi hero sekelip mata selepas satu rakaman video dia menyelamatkan kanak-kanak daripada lemas viral di laman sosial.

Dalam kejadian di wilayah Zhejiang, 2 orang kanak-kanak kelihatan duduk di tepi sungai Shaoxing sambil salah seorang kanak-kanak yang berusia 13 tahun jatuh tergelincir sewaktu sedang mencuci kain.

Ketika itu, He Linfeng yang kebetulan melalui kawasan itu melihat air berkocak dan apabila dia mengintai ke sungai, dia dengan jelas melihat kanak-kanak perempuan bergelut dan sedang lemas dalam air sungai itu.

Tanpa melengahkan masa, He Linfeng terus menghentikan motosikalnya, meninggalkan telefon bimbitnya dan melompat ke sungai untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.

Sebaik kanak-kanak itu dibawa ke darat, dia masuk semula ke dalam sungai untuk mengambil sebelah kasut kanak-kanak yang berada dalam air.

“Saya melihat sebelah kasutnya hilang. Jadi saya masuk ke dalam air untuk mengambilnya,” katanya kepada sebuah portal tempatan.

He Linfeng juga memastikan kanak-kanak itu pulang ke rumah dengan selamat.

Menurut Zhejiang 24 Hours, kanak-kanak itu bersendirian selepas ibu bapanya keluar bekerja ketika kejadian berlaku.

Ekoran perbuatan penuh keberanian itu He Linfeng dihadiahkan sejumlah wang tunai dan dianugerahkan dengan sebagai “penghantar makanan contoh” di wilayah itu.