PKR: Negeri Sembilan, Melaka tak perlu pemilihan semula

Rashid Din berkata, parti itu sedang melakukan proses ‘bedah siasat’ serta misi ‘mencari dan menyelamat’ undi hilang dalam pemilihan di beberapa bahagian Melaka dan Negeri Sembilan, hujung minggu lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PKR Negeri Sembilan dan Melaka tidak perlu mengadakan pemilihan semula, susulan isu undi hilang pada hujung minggu lalu, tetapi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR sedang mempertimbangkan alternatif lain.

Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din berkata, antara alternatif itu ialah mungkin memanggil ahli yang undinya hilang di 6 bahagian untuk mengundi semula.

“Kita ada 2, 3 cara alternatif yang kita sedang lihat, tetapi pemilihan semula memang kami tidak akan buat.

“Kalau ada, kita akan buat di kawasan terlibat sahaja. Mungkin kita panggil orang yang undi hilang untuk dia mengundi sekali lagi.

“Itu adalah salah satu pilihan yang kita ada, namun yang lain saya tidak boleh dedahkan lagi buat masa ini kerana kita masih lakukan proses ‘bedah siasat’ dan misi ‘mencari dan menyelamat’,” katanya kepada FMT.

Pada 20 Oktober lalu, sejumlah undi di 5 bahagian PKR Melaka dan 1 bahagian Negeri Sembilan gagal dikesan menyebabkan keputusan tidak dapat dimuktamadkan.

Susulan itu, Rashid mendedahkan wujud gangguan kecil atau kerosakan rawak di 6 bahagian di 2 negeri terbabit dan pasukan teknikal diberikan 24 jam untuk menyiasatnya. Bagaimanapun, tarikh akhir itu sudah tamat.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, sistem e-undi diteruskan, walaupun timbul masalah teknikal dalam pemilihan parti.

Katanya, parti mengambil kira semua faktor ketika membuat keputusan melaksanakan e-undi menggantikan kaedah pengundian manual.

“Kalau menggunakan sistem manual, ada anggota (PKR) buta huruf, kalau guna sistem e-undi ada (golongan) tidak biasa dengan penggunaan tab. Kita adalah masalah yang sama.

“Sehubungan itu, JPP telah bersiap sedia petugas bagi membantu anggota yang tidak biasa penggunaan tab (ketika e-undi). Sistem ini terbukti berjalan baik dan lancar di beberapa negeri,” katanya semalam.

Hari ini, Rashid berkata, keputusan rasmi 6 bahagian di Negeri Sembilan dan Melaka tidak dapat diumumkan sehingga masalah itu diselesaikan.

“Kena tunggu lagi. Kita tidak boleh dedah keputusan lagi.”