Tariq mengaku hubungan seks dengan 2 wanita?

Tariq Ramadan. (Gambar Reuters)

PARIS: Cendekiawan Islam terkemuka, Tariq Ramadan yang didakwa merogol 2 wanita di Perancis, mengaku beliau mengadakan hubungan seks dengan kedua-dua wanita terbabit, yang mana sebelum ini menafikan sebarang hubungan fizikal.

Ramadan yang juga pengulas TV terkenal, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan merogol wanita terbabit di sebuah bilik hotel, mengatakan ia adalah percubaan memburuk-burukkan reputasinya oleh pesaing beliau.

Peguamnya, Emmanuel Marsigny berkata, ahli akademi Switzerland itu mengubah pengakuannya berdasarkan mesej teks yang muncul antara beliau dan 2 wanita tersebut.

Mesej itu “menunjukkan plaintif berbohong dan pertemuan seksual itu dikehendaki, dipersetujui, malah dicari lagi selepas itu”, kata Marsigny.

Ketidakjelasan mesej itu “menyebabkan beliau mengakui bahawa beliau mempunyai hubungan seks” dengan penuduhnya, kata Marsigny.

Ramadan yang dituduh merogol wanita itu pada 2009 dan 2012, ditahan sejak 2 Februari lalu.

Beliau sebelum ini menegaskan tidak mempunyai hubungan seksual dengan penuduhnya, aktivis wanita Henda Ayari dan seorang wanita kurang upaya yang dikenali sebagai “Christelle”.

Ramadan yang merupakan pensyarah di Universiti Oxford terpaksa mengambil cuti ketika tuduhan itu dikenakan terhadapnya semasa pergerakan “Me Too”, akhir tahun lalu.

Ramadan adalah cucu kepada Hasan al-Banna, pemikir dan aktivis Islam yang mengasaskan Ikhwanul Muslimin. Beliau mempunyai jumlah pengikut besar dalam kalangan pemuda Islam dan mencabar sekatan Perancis ke atas pemakaian purdah.