Bank Australia perkenal ATM dengan kemudahan pengesanan wajah

Walaupun tidak perlu membawa bersama kad bank, pelanggan masih perlu menghafal nombor pin mereka.

SYDNEY: Bank Australia bakal memperkenalkan penggunaan mesin pengeluaran wang (ATM) yang membolehkan pelanggan mengeluarkan wang melalui pengesanan wajah.

Dikuasakan dengan aplikasi pengkomputeran awan bersama teknologi kecerdasan buatan (AI), ia dibangunkan Bank Negara Australia (NAB) dengan kerjasama Perkhidmatan Kognitif Microsoft Azure.

“Kami percaya AI akan memberikan impak besar kepada perkhidmatan kewangan dan boleh membantu perkhidmatan bank pada masa akan datang.

“Kita juga boleh memanfaatkan ciri dan kelebihan teknologi awan,” kata pegawai teknologi dan ketua operasi NAB Patrick Wright dalam satu kenyataan, lapor agensi berita Xinhua.

Ia turut direka bagi memberikan pengalaman baru kepada pelanggan dalam menjalankan urusniaga perbankan.

Menurut NAB, sebagai langkah keselamatan, tiada gambar disimpan dalam program, hanya “data biometrik”.

Walaupun tidak perlu membawa bersama kad bank, pelanggan masih perlu menghafal nombor pin mereka.