Kes Hasanah tidak ada kaitan dengan 1MDB, kata peguam

Peguam Shaharuddin Ali berkata, wang AS$12 juta itu boleh dipersoalkan, adakah benar-benar milik kerajaan atau sebaliknya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hami tidak akan disabitkan dengan sebarang kesalahan berkaitan 1MDB, kata peguamnya.

Datuk Shaharudin Ali berkata, Hasanah hanya dituduh atas kesalahan pecah amanah jenayah berkaitan dana kerajaan berjumlah AS$12 juta (RM49.9 juta).

“Saya tidak nampak ada pertuduhan lain, Hasanah tidak terlibat langsung dengan skandal 1MDB. Kes ini tidak ada kena mengena dengan syarikat pelaburan strategik itu atau anak syarikat 1MDB.

“Wang AS$12 juta itu boleh dipersoalkan. Adakah wang itu milik kerajaan atau wang dari pihak luar negara, termasuk perisikan negara luar.

“Ia sebenarnya merupakan hal sulit, tidak sesuai dibahaskan dalam mahkamah secara terbuka,” katanya dalam sidang media di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, hari ini.

Shaharudin sewaktu mengulas dakwaan berkaitan surat yang ditulis anak guamnya kepada Agensi Risikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat sebelum ini berkata, ia tidak mempunyai perkembangan terkini.

Bagaimanapun Shaharudin berkata, keputusan saman anak guamnya terhadap SPRM berhubung tindakan suruhanjaya itu tidak membenarkannya berjumpa dan berunding dengan peguamnya semasa direman, akan diputuskan esok.

Hasanah menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan membabitkan pecah amanah oleh penjawat awam.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 2 tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun, dengan hukuman sebatan dan denda.

Hakim Azman Ahmad menetapkan Hasanah diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan 2 penjamin.

Beliau juga mengarahkan Hasanah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sementara menunggu kes dibicarakan.

Sebutan kes seterusnya ditetapkan pada 29 Nov depan.

Pada 28 Ogos lalu, Hasanah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam salah guna kuasa dan penyelewengan dana milik kerajaan bagi peruntukan pilihan raya umum ke-14 Mei lepas.