Kontraktor utama insiden tanah runtuh Tanjung Bungah didenda RM35,000

Insiden tanah runtuh di Tanjung Bungah mengorbankan 11 nyawa. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Kontraktor utama tapak pembinaan di Tanjung Bungah yang menyaksikan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 11 nyawa tahun lalu, didenda RM35,000 di Mahkamah Tinggi semalam selepas ia mengaku gagal memastikan tapak itu bebas daripada risiko.

Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) hari ini, Choongcons (Penang) Sdn Bhd mengaku bersalah kerana gagal memastikan amalan keselamatan untuk mengelak risiko di tapak pembinaan.

“Tertuduh mengaku bersalah tidak memastikan amalan keselamatan serta kesihatan dan kebajikan pekerjanya dengan tidak mengukur tingkat risiko keselamatan di tempat kerja, yang mengakibatkan kematian pekerja akibat tanah runtuh,” kata kenyataan.

Tuduhan itu berdasarkan Seksyen 5(2)(b) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara 2 tahun.

DOSH berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Azimah Yaacob mengarahkan syarikat terbabit membayar denda RM35,000 atau penjara 2 bulan jika gagal berbuat demikian.

Pendakwaan diketuai R Buvaneswaran dan Muhd Noor Azmil Muhamad Fishol dan disiasat oleh pegawai penyiasat DOSH, Nik Firdaus Nik Ab Hadi.

Tahun lepas, kerajaan Pulau Pinang menyenarai hitam syarikat itu sementara menunggu siasatan Suruhanjaya Siasatan Negeri (SCI) yang akan memutuskan jika ianya kemalangan tapak pembinaan.

SCI, yang bermula pada Januari, masih diteruskan.

Dalam kejadian yang berlaku pada 2 Oktober tahun lalu, cerun bukit setinggi 10 meter runtuh di sebelah tapak pembinaan projek perumahan mampu milik tidak jauh dari kampus Kolej Tunku Abdul Rahman di Tanjung Bungah.

Seorang rakyat Malaysia, 4 warga Bangladesh, 3 warga Myanmar, 2 warga Indonesia dan seorang warga Pakistan terbunuh.