Tak logik ajak Dr Mahathir sertai Umno, kata Mukhriz

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata sudah terlambat bagi Umno mempelawa Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai parti Melayu itu.

Bercakap kepada pemberita, Mukhriz berkata, pelawaan yang dibuat Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa semalam adalah satu ajakan yang tidak logik memandangkan pemimpin veteran itu kini sudah menjadi perdana menteri.

“Jadi ketika kita dah berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN), sekarang ini baru nak pelawa. Saya ingat dah terlambat.

“Bayangkan nak pelawa seorang yang sudah pun memegang jawatan perdana menteri merangkap pengerusi parti kerajaan masuk parti pembangkang,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Mukhriz berkata demikian sebagai mengulas tawaran balas Annuar yang “menjemput” Dr Mahathir untuk menyertai semula Umno.

Tawaran Annuar itu dibuat selepas Dr Mahathir sebelum ini mempelawa ahli Umno menyertai PPBM.

Annuar berkata pelawaan Dr Mahathir yang mahu ahli Umno menyertai parti itu hanyanya untuk menarik wakil rakyat dan pemimpin Umno yang kemaruk jawatan dalam kerajaan.

Katanya, kemungkinan Umno perlu membuat tawaran balas iaitu menjemput Dr Mahathir dan ahli PPBM menyertai Umno.

“Sesungguhnya amat ramai ahli Umno, termasuk saya sendiri amat sayang dan menghormati Tun dengan hati yang tulus ikhlas,” katanya.

Mukhriz dalam pada itu “menasihatkan” pemimpin Umno supaya berusaha menyelesaikan masalah sendiri dan tidak meminta bantuan orang luar memulihkan kepincangan dalam parti itu.

Katanya, kes penyelewengan yang melibatkan kalangan pemimpin tertinggi Umno ketika ini menyebabkan parti itu kehilangan keyakinan, khususnya dalam kalangan orang Melayu.

“Nak suruh kami yang berada di luar (Umno) ini untuk selamatkan, saya ingat bukanlah seuatu yang boleh diterima.

“Jadi masalah yang dihadapi oleh Umno itu harus diatasi sendiri. Bagi kami memang susahlah nak selesaikan kerana soal kepimpinan satu hal, soal struktur parti lagi,” katanya.