Zahid patut bercuti, kata Pemuda Umno

Asyraf Wajdi Dusuki berkata Zahid Hamidi tidak patut dibebankan dengan tanggungjawab presiden sehingga perbicaraan tamat.

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno hari ini berkata Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu bercuti sementara menunggu keputusan perbicaraan rasuahnya.

Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata bercuti akan membolehkan Zahid tumpu kepada perbicaraan rasuah akan datang.

Beliau menambah Pemuda Umno bukannnya meminta Zahid meletak jawatan.

“Pemuda berpendirian selagi tidak bersalah, dia tidak wajar meletakkan jawatan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno.

“Tidak ada desakan untuk letak jawatan. Kita hormat dia tapi tak nak bebankan beliau dengan kes-kes. Kita mohon agar Zahid pertimbangkan cuti dan rehat sampai kes selesai,” katanya.

Beliau menambah perbicaraan Zahid dijangka akan “mengambil tempoh panjang”.

Bekas timbalan perdana menteri itu yang dilantik sebagai presiden Umno pada Julai berdepan 54 pertuduhan berkaitan pecah amanah, pengubahan wang dan rasuah melibatkan lebih RM100 juta.

Kenyataan Pemuda Umno ini menyusuli pandangan veteran Umno dan ketua majlis penasihat parti, Tengku Razaleigh Hamzah, yang berkata jalan terbaik bagi Zahid ialah bercuti atau meletak jawatan seperti amalan pemimpin Umno terdahulu apabila dituduh di mahkamah.

Asyraf berkata pihaknya akan bertemu Zahid untuk membincangkan cadangan itu dan menyerahkan kepada majlis tertinggi untuk membuat keputusan.

“Kalau mahkamah cakap tak bersalah, kita orang pertama akan sokong,” katanya.