19 mayat ditemui tertanam dalam siri keganasan di Mexico

Pembunuhan di Mexico dikaitkan dengan keganasan geng dadah. (Gambar Reuters)

BANDARAYA MEXICO: Sekurang-kurangnya 19 mayat ditemui ditanam di satu kawasan lapang di Jalisco barat Mexico, wilayah di mana berlakunya beberapa insiden keganasan.

Mayat terdiri 16 lelaki dan 3 wanita itu dipercayai dibunuh kira-kira 4 bulan lalu, kata pegawai.

Dua tengkorak manusia juga ditemui, namun belum dapat dipastikan sama ada ia mempunyai kaitan dengan kes itu.

Jumlah mangsa bunuh di Mexico terus meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dikatakan mempunyai kaitan dengan keganasan geng dadah.

Sejak kerajaan mengarahkan anggota tentera memerangi sindiket dadah pada 2006, Mexico dilanda gelombang keganasan, menyaksikan lebih 200,000 pembunuhan berlaku. Tahun lepas sahaja 28,702 pembunuhan dicatatkan.

Hampir 4,000 mayat ditemui sejak 2007, menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan.

Keganasan di Guadalajara memuncak sejak Mac 2017, ketika perebutan kuasa meletus melibatkan keganasan sindiket dadah.

Pada akhir September, pihak berkuasa menemui 278 mayat mangsa pembunuhan di sebuah trak sejuk beku di Guadalajara.