Desakan menteri letak jawatan tidak patut timbul, kata Kamarudin

Kamarudin berkata, keputusan yang dibuat bertujuan memastikan tidak ada pihak mendapat kelebihan atau keistimewaan. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Datuk Kamarudin Jaffar berkata isu gesaan Gabungan Teksi Se-Malaysia yang mendesak Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sepatutnya tidak timbul.

Timbalan menteri pengangkutan itu berkata, ini kerana segala keputusan yang dibuat adalah secara bersama-sama, bukannya oleh individu.

Beliau berkata, banyak pertemuan telah diadakan dengan persatuan pemandu teksi bukan sahaja oleh menteri tetapi juga kementerian.

“Sebenarnya kita ada perancangan dasar yang jelas sebagaimana yang telah diumumkan untuk memastikan industri teksi dan e-hailing diberikan layanan dan diletakkan syarat yang sama,” katanya kepada FMT selepas menghadiri Forum Ilmuan Islam di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Gabungan Teksi Se-Malaysia yang sebelum ini mendesak Loke agar meletak jawatan kerana didakwa tidak menghormati teguran perdana menteri tentang permasalahan dihadapi pemandu teksi.

Pada Ahad lalu, pertemuan antara perdana menteri dan persatuan pemandu teksi di Langkawi, Kedah, kecoh apabila beberapa ahli persatuan bertindak keluar majlis kerana tidak bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir Mohamad berhubung perkhidmatan perkongsian kenderaan.

Kira-kira 10 orang pemandu berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar ketika perdana menteri berkata beliau akan mencari jalan terbaik menyelesaikan isu berbangkit.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata keputusan yang dibuat secara bersama itu bertujuan memastikan tidak ada pihak mendapat kelebihan atau kemudahan seperti lesen memandu, syarat dan insuran kereta.

“Malah kita telah meringankan tanggungan pemandu teksi dengan menetapkan teksi yang berusia lebih 3 tahun kini hanya perlu diperiksa sekali setahun berbanding dahulu setiap 6 bulan,” katanya.

Kamarudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mempunyai perancangan bagi membantu pemandu teksi dari segi penggunaan aplikasi “e-panggilan”.

“Langkah ini supaya mereka juga dapat memberikan khidmat ‘e-hailing’, bukan sahaja pemandu e-hailing, tetapi juga pemandu teksi.

“Ini antara usaha yang telah dilakukan untuk memastikan perkhidmatan e-hailing dan juga teksi mendapat kedudukan sama supaya mata pencarian pemandu teksi tidak terjejas,” katanya.