Gesa Zahid bercuti: Puteri, Pemuda Umno berbeza pendapat

Zahida Zarik Khan (kanan) berkata Puteri Umno berikrar terus setia kepada Zahid Hamidi sebagai presiden.

PETALING JAYA: Puteri Umno berbeza pendapat dengan Pemuda berhubung gesaan “bercuti” terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengatakan sayap itu mendokong kepimpinan presiden parti tersebut.

Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan berkata pendirian Puteri berbeza dan menolak langkah Pemuda mengesa Zahid bercuti sementara menunggu keputusan perbicaraan rasuahnya.

“Puteri akan terus bersolidariti mendoakan dan memberi sokongan moral kepada presiden parti di saat kita diuji sekarang ini.

“Puteri terus memberi sokongan kepada presiden parti untuk mempertahan dan melindungi parti dari terjerumus ke jurang yang lebih berbahaya demi masa depan agama, orang Melayu dan negara tercinta.

“Kami umpama anak yang tidak tergamak untuk ‘menghentak’ dan menambah beban emosi kepada ‘ayah’ yang sedang berhadapan masalah ketika menguruskan ‘keluarga besar Umno’ ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zahida menambah, Puteri mengutamakan kematangan bertindak dan sentiasa berbincang secara keluarga dengan Jawatankuasa Pengurusan, Biro Politik dan Majlis Tertinggi.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata bercuti akan membolehkan Zahid tumpu kepada perbicaraan rasuah akan datang.

Beliau menambah Pemuda Umno bukannnya meminta Zahid meletak jawatan.

“Pemuda berpendirian selagi tidak bersalah, dia tidak wajar meletakkan jawatan,” kata Asyraf.

Mengulas lanjut, Zahida menganggap pendakwaan terhadap Zahid sebagai langkah presiden Umno itu membersihkan nama.

“Puteri memahami cabaran bakal dihadapi oleh sesiapa sahaja yang menjadi ketua pembangkang, jadi kami percaya presiden Umno mempunyai kebijaksanaan dalam menentukan pendiriannya.

“Beliau mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan yang sebaik mungkin berdasarkan prinsip ‘tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah’ dan tidak sepatutnya kita bersikap ‘prejudis’ dengan membuat perbicaraan di media.

“Seperti semua maklum parti kita sedang ditekan kuat oleh pihak kerajaan, seorang demi seorang pemimpin kita didakwa, kemungkinan ramai lagi akan dikenakan tindakan bermotifkan politik dan pendakwaan terpilih yang mereka amalkan.”