Penganalisis saran skim sewa beli bagi rumah mampu milik tak laris

Barjoyai Bardai berkata, penyewa boleh membeli rumah mampu milik selepas sewa bulanan yang diperuntukkan untuk deposit mencapai 10% atau lebih daripada harga rumah serta mendapat pinjaman bank. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis ekonomi mencadangkan pemaju menawarkan rumah mampu milik yang tidak terjual dalam bentuk skim sewa beli yang akan menguntungkan diri serta penyewa.

Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak, Prof Barjoyai Bardai menyarankan pemaju menyewakan unit tidak terjual kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, di bawah skim pelaburan musyarakah mutanaqisah atau pembiayaan berkonsepkan pemilikan bersama pemaju dengan pelanggan, sebahagian daripada sewa bulanan itu diberikan kepada pemaju, manakala sebahagian lagi wang itu dijadikan deposit untuk penyewa membeli rumah terbabit.

“Dalam skim pelaburan ini, pemaju-pemaju akan menjadi pelabur awal dan mereka akan menawarkan rumah mereka untuk dibeli bakal pembeli yang merupakan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kumpulan ini akan memilih rumah yang sesuai dan mereka kemudiannya menyewa rumah ini dengan niat membeli di masa akan datang.

“Dan ini akan terus dilakukan sehingga mereka menyimpan cukup deposit 10% atau lebih, di mana mereka boleh menandatangani perjanjian jual beli dan mereka akan terus menyewa sambil cuba mencari pinjaman bank,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, selepas mendapat pinjaman bank, rumah itu akan dijual kepada penyewa terbabit.

“Kalau dia tak dapat pinjaman bank, dia akan terus menyewa dan menambahkan lagi simpanan sehingga mampu membeli daripada pemaju secara beransur-ansur tanpa melibatkan sistem bank.”

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang berkata, rumah tidak terjual di seluruh negara mencecah RM22.5 bilion ketika ini.

Katanya, 73% rumah yang tidak terjual itu ialah kategori rumah mampu milik bernilai RM250,000 ke atas.

Barjoyai berkata, pasaran hartanah kediaman kini dalam keadaan tidak memberangsangkan, di mana ramai pembeli menunggu harga rumah turun dan pihak bank pula berhati-hati dalam meluluskan pinjaman.

“Sebanyak 73% merupakan rumah mampu milik yang sepatutnya dibeli oleh kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Malangnya, kumpulan ini paling susah mendapatkan pinjaman pada masa ini kerana bank sangat berhati-hati dan tidak mahu memberikan pinjaman.”

Cadangan Barjoyai itu menyerupai skim sewa beli bagi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada September 2014 untuk membantu pemohon yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman perumahan dengan bank.

“Program ini adalah bagi membantu mereka (permohonan) yang ditolak bank, kadang-kadang yang tiada pendapatan tetap atau rekod tidak berapa elok.

“Maka kita bersetuju dengan pihak bank untuk tawar skim Rent to Own ini dengan pemohon hanya perlu membayar sewa dan dalam tempoh 20 hingga 30 tahun, rumah itu akan jadi milik mereka,” kata bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2014.

Kerajaan BN turut meluluskan Skim Sewa untuk Beli (RTO) pada 3 Ogos 2016 bagi beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi membolehkan penyewa memiliki rumah selepas membayar sewa bulanan dalam tempoh masa yang diputuskan kemudian.