PH paling banyak langgar peraturan pilihan raya di PD, kata Bersih

Bersih berkata, majlis pengurniaan anugerah kepada veteran tentera yang dihadiri Anwar di Port Dickson ‘jelas’ merupakan acara kerajaan.

PETALING JAYA: Pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 hari ini mendedahkan Pakatan Harapan (PH) melakukan paling banyak kesalahan pilihan raya semasa pilihan raya kecil Port Dickson awal bulan ini.

Pengarah eksekutif pertubuhan itu, Yap Swee Seng berkata, ini diikuti oleh PAS.

“Parti politik gagal menjamin pilihan raya yang bersih dan adil, terutamanya parti pemerintah (PH),” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di ibu pejabat Bersih hari ini.

“Dalam beberapa kejadian, salah guna aset kerajaan jelas dilakukan oleh PH,” katanya dan menambah PH melakukan 6 daripada 10 kesalalahan pilihan raya yang dikenal pasti sepanjang tempoh pilihan raya kecil itu.

“Bersih mahu menegaskan bhawa kerajaan perlu akur kepada sikap tidak memihak pentadbiran bagi menghindari salah guna aset kerajaan pada masa depan.”

Beliau juga berkata, kerajaan perlu menunjukkan keadilan kepada semua pihak, bukan sahaja kepada parti pemerintah.

“Ini terutamanya melibatkan menteri yang memegang jawatan. Mereka harus menunjukkan sikap tidak memihak, dengan membezakan peranan mereka sebagai menteri dengan peranan sebagai ahli politik yang berkempen.”

Beliau memberi contoh acara pengurniaan anugerah kepada veteran tentera, yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi satu-satunya calon yang dijemput hadir.

Tambah Yap, ini jelas merupakan acara anjuran kerajaan yang diadakan di premis kerajaan, dan jemputan sepatutnya dibuat kepada semua calon yang bertanding.

“Bagi mengelakkan garis pemisah antara acara kerajaan dengan acara politik dikaburkan, menteri seharusnya tidak menganjurkan acara sedemikian pada masa depan,” katanya.

Beliau menggesa parti politik, terutamanya parti pemerintah supaya memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan berkata, tanpa kerjasama sedemikian negara tidak akan dapat menyaksikan pilihan raya yang bersih dan adil.

“Mereka perlu memastikan bahawa PH menjalankan reformasi yang dikehendaki rakyat, bukannya kembali kepada cara yang salah,” tambah beliau.

Yap juga menasihati SPR menetapkan garis panduan jelas bagi memaklumkan kepada parti politik aktiviti mana dibenarkan dan mana yang tidak.

“Semua ini ada dalam undang-undang, tetapi orang ramai tidak membacanya.”

Beliau juga menyebut tentang amalan menganjurkan majlis makan malam “percuma”, dengan berkata, undang-undang jelas menetapkan apa-apa perbelanjaan yang dikeluarkan mesti dimasukkan ke dalam perbelanjaan calon.

“Ini termasuklah makan malam percuma, sama ada dianjurkan oleh calon atau ejen pilihan raya kerana calon jelas berkempen dalam acara sedemikian.

“Jika tidak, anda akan dapati banyak pihak menganjurkan banyak majlis makan malam atau konsert percuma sedangkan perbelanjaan semua calon hendaklah sama.”

Yap menggesa SPR mengadakan taklimat pada masa depan supaya semua calon bertanding tidak lagi boleh mendakwa mereka tidak tahu tentang kesalahan terbabit.